Jumaat, 16 Julai 2010

Kursus ESQ: 13 Mufti Negeri Sokong


JAKIM USIM 1A Oleh Qayum Rahman

PETALING JAYA: Seramai 13 Mufti Negeri sebulat suara bersetuju dengan keputusan yang dicapai oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan semalam mengenai isu kursus ESQ Leadership Training Sdn Bhd yang dikatakan bertentangan dengan syariat Islam.

Tan Sri Abdul Shukor Husin selaku Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan berkata, keputusan daripada 13 Mufti berkenaan dicapai setelah bermesyuarat pada 16 Jun lalu untuk membincangkan isu tersebut.

"Kita melakukan perbincangan bersama Mufti negeri berhubung isu ESQ ini dan telah mendapat keputusan sebulat suara untuk membenarkan kursus ini terus dijalankan.

"Hanya Mufti Wilayah Persekutuan tidak membenarkan kursus ini dilaksanakan di negerinya, mungkin kerana beliau mempunyai alasan kukuh untuk membuat keputusan sedemikian. Kita menghormati keputusannya," kata beliau dipejabatnya di sini semalam.

Bagaimanapun Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Wan Zahidi Wan Teh menyatakan dalam bentuk fatwa bahawa kandungan kursus ESQ bercanggah dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, kursus ESQ yang diasaskan oleh Ary Ginanjar Agustian adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariat Islam.

Menurutnya, 10 ajaran yang bercanggah antaranya adalah mendukung fahaman Islam liberal dan plural agama adalah sama, mendakwa para Nabi mencapai kebenaran melalui pencarian bukan daripada pilihan Allah, mencampur aduk ajaran Islam dengan Kristian, Yahudi dan amalan kerohanian Hindu.

Tambah beliau, kursus tersebut juga menekankan suara hati agama Islam sama dengan agama Hindu, mengutamakan kaedah logik, mengingkari mukjizat, menggunakan Kod 19 rekaan Rasyad Khalifah untuk mentafsir al-Quran dan menyamakan bacaan 17 kali Surah al-Fatihah dengan amalan Bushido mengikut agama Buddha.

Wan Zahidi juga menyatakan bahawa Fatwa yang dikeluarkan ini telah berkuatkuasa pada 17 Jun lalu dan meliputi umat Islam di seluruh Wilayah Persekutuan.

Fatwa terbaik daripada Mufti WP

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan Wan Nik Wan Yussof berpendapat, Fatwa yang diwartakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan adalah Fatwa terbaik yang harus dihormati setelah mengikut kajian penyelewengan yang dilakukan dalam kursus itu.

"Masyarakat yang berminat dengan kursus motivasi ESQ ini perlu memahami isu agama sebenar yang tersirat disebalik kursus yang diikuti. Kursus ini akan merosakkan akidah umat Islam apabila diperhalusi kerana menganggap semua agama adalah sama.

"Umat Islam tidak perlu bergantung kepada kursus motivasi seperti ini dan sepatutnya bersama tokoh-tokoh ilmuan Islam yang diiktiraf dengan menghadiri kelas-kelas agama dan sebagainya untuk memotivasikan diri mendalami agama Islam," jelasnya.

Pengurus Besar ESQ Leadership Training Marhaini Yusoff berkata, syarikat ESQ mengalami kerugian sebanyak RM1 juta berhubung isu yang dikatakan bercanggah dengan agama Islam melalui penganjuran kursus motivasi itu.

“ESQ mengalami kerugian lebih kurang RM 1 juta ekoran Fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan setelah banyak penyertaaan dari pelanggan kami ditangguhkan.

“pihak ESQ akan mengadakan pertemuan dengan semua pelanggan untuk menjelaskan mengenai keputusan muzakarah dan fatwa ini kerana ramai masih keliru berhubung isu ini.

"ESQ juga berharap akan dapat berjumpa Mufti Wilayah Persekutuan untuk berbincang mengenai permasalah ini,"Katanya.

Tiada ulasan: