Jumaat, 16 Julai 2010

Isu Pasir Selangor dan Akhbar Parti

Oleh Mohd Sayuti Omar

KEDUA-DUA langkah yang diambil oleh kerajaan Selangor dan Pakatan Rakyat mengenai masalah pencurian pasir dan pemberhentian penerbitan akhbar suara ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat, Suara Keadilan, Harakah dan Roket adalah bijak dan satu penyelesiaan yang baik.

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dengan rendah hati memohon bantuan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menangkap pencuri pasir yang berleluasa di Selangor. Dipercayai Khalid terbuka pintu puadnya untuk berbuat demikian ekoran kenyataan dan kritikan sinis Muhyiddin berhubung masalah pencurian pasir di Selangor.

Muhyiddin menyindir Khalid dan Anwar Ibrahim dengan mengatakan berleluasanya pencurian pasir di Selangor menunjukkan kelemahan kedua mereka itu dan membuktikan Kahlid dan Anwar tidak layak menjadi pemimpin. "Kalau urus pasir pun tak boleh macam mana nak urus negeri," begitulah kira-kita sinis Muhyiddin.

Tindakan Khalid itu juga dikira tepat untuk memerangkap daya kepimpinan Muhyiddin. Ia juga menguji sejauh mana keikhlasan Muhyiddin untuk menghapus penjenayah pasir. Seperti mana kata Khalid sekiranya Muhyiddin tidak menangkap pencuri pasir Timbalan Perdana Menteri itu dianggap bersubahat dengan penjenayah pasir.

Khalid juga tururt sama menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri (KDN), Hishamuddin Hussein, Ketua Polis Negara, Musa Hassan, Ketua Polis Selangor, Khalid Bakar dan juga Peguam Negara Abdul Ghani Petail yang menjelaskan masalah itu dan memohon bantuan mereka.

Langkah diambil merupakan pengembalian paku buah keras kepada Muhyiddin dan mereka yang mempersoalkan kegagalan kerajaan Selangor dalam mengatasi masalah pencurian pasir. Tindakan Khalid itu betul kerana masalah jenayah bukan saja tanggungjawab seorang individu atau kerajaan tetapi semua orang yang bermukim di Malaysia ini.

Khalid juga turut memberi ganjaran kepada orang ramai yang dapat menangkap penjenayah pasir. Jadi kepada mereka yang tidak ada kerja dan untuk menambahkan pendapatan bolehlah berpakat menangkap penjenayah pasir dan menuntut ganjaran dengan kerajaan Selangor.

Apa yang menariknya Khalid akan turut mengeluarkan nama-nama mereka yang diberi lesen mengaut pasir di zaman pemerintah Barisan Nasional. Dengan penyenaraian itu nanti dunia akan mengetahui siapakah mereka di sebaliknya. Apakah tuduhan bekas MB Selangor, Khir Toyo mengatakan pemberian lesen menerusi konsortium Kumpulan Semesta Sdn Bhd (anak syarikat kerajaan Selangor) dilakukan kepada kroni benar atau tidak. Apakah pemberian secara individu di zaman BN memerintah dulu bukan kepada kroni? Bukankan 'kalong-kalong' pasir di Selangor ada kaitan dengan Umno?

Semua pihak kelak akan dapat membuat penilaian sendiri berhubung perkara ini. Kita mengalu-alukan agar Khalid cepat mengeluarkan nama-nama berkenaan. Dengan keluarnya nama-nama itu nanti akan diketahui siapa yang menjadi penyangak sebenarnya dan mengaut keuntungan menerusi 'komiditi' itu selama ini.

Dalam pada itu Khalid menjelaskan dengan kaedah pengurusan 'komoditi' itu di Selangor pada masa ini ia telah memberi keuntungan kepada Selangor. Hasil pasir tahun 2007 sebanyak RM2.9 juga meningkat ke RM6.3 juta tahun 2008.

Jumlah itu terus meningkat sebanyak RM5.4 juta tahun 2009 dan sebanyak RM10.3 juta setakat Jun tahun ini. Dengan perangkaan itu jelas kaedah atau sistem penghasilan pasir di Selangor yang dilakukan Khalid berjaya menambahkan kewangan negeri. Hanya mereka yang jahil matemetik saja akan beranggapan sistem yang dilakukan Khalid itu rugi.

Perkara kedua yang menarik perhatian ialah keputusan Pakatan Rakyat menghenti penerbitan akhbar lidah parti. Konsensus yang diambil Pakatan semalam adalah tepat. Menurut Anwar Ibrahim Pakatan bersetuju untuk mematuhi arahan KDN agar akhabr, Suara Keadilan, Roket dan Harakah tidak diterbitkan sehingga permitan diluluskan.

Dalam pada itu Pakatan akan berjumpa dengan KDN untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan syarat-syarat dan proses penyambungan permit yang sedikit mengelirukan. Cara dan langkah diambil itu adalah lebih kepada kompromi dan tidak keras seperti mana yang cuba dilakukan oleh sesetengah individu di dalam parti Pakatan yang lebih untuk menunjukkan ego dan keras kepala.

Dengan langkah terbaru itu juga menyebabkan KDN akan merasakan mereka dihormati dan sudah tentu tidak ada sebab kenapa permit penerbitan ketiga-tiga akhbar lidah parti itu tidak akan disambung sekiranya semua syarat dan peraturan sedia dipatuhi oleh pihak berkenaan

Tiada ulasan: