Selasa, 23 Oktober 2018

SPRM tidak minta maklumat peribadi melalui panggilan telefon

THE MALAYSIAN TIMES
 


SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan sesekali meminta butiran peribadi terutamanya nombor kad pengenalan diri melalui panggilan telefon.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim berkata orang ramai perlu lebih berwaspada sekiranya menerima panggilan telefon dari pihak yang mendakwa dari badan penguatkuasa atau wakil, dan meminta orang awam memberikan maklumat peribadi.

“Ada orang awam yang datang kepada pihak SPRM mengatakan kita ada memanggil mereka, tetapi sebenarnya tiada, dan mereka ni dipanggil melalui telefon.

“Jika ada mangsa yang mendapat panggilan telefon dipercayai dari scammer yang meminta nombor kad pengenalan, segera lapor ke pihak polis kerana kita takut nombor kad pengenalan yang diberikan kepada scammer akan digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Ja’afar Mahad.

Hairuzam sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Selangor manakala bekas penyandang pengarah SPRM negeri, Ramli Ismail kini bertugas sebagai Pengarah SPRM Kelantan.

Hairuzam berkata jika terdapat sebarang kemusykilan orang awam diminta datang ke pejabat SPRM terdekat untuk mendapatkan pengesahan.

Sementara itu, Hairuzam berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan politik wang dalam Pemilihan PKR 2018 di negeri ini Sabtu lepas.

Dalam perkembangan lain, bagi sembilan bulan pertama tahun ini, SPRM negeri telah menerima 203 maklumat dari pelbagai sumber dan daripada jumlah itu 24 kertas siasatan telah dibuka serta 38 tangkapan telah dibuat.

Pada tempoh yang sama, seramai sembilan orang juga telah dituduh di mahkamah.– Bernama

Tiada ulasan: