Jumaat, 26 Oktober 2018

'Saya mohon maaf, hanya risau keadaan keluarga'

MALAYSIAKINI

   

Datuk Seri Najib Razak memohon maaf kerana gagal mengawal perasaannya semasa diwawancara Al Jazeera bagi program 101 East pagi tadi.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau hanya risau dengan keadaan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anak mereka, Norashman dan Riza Aziz, yang disoal siasat polis pada waktu yang sama.

"Ya, ada sesi wawancara bersama Al Jazeera pagi ini bermula pada pukul 10.30 pagi, iaitu waktu yang sama isteri, anak dan anak tiri saya disoal siasat polis secara serentak.

"Walaupun wawancara itu melangkaui jadual dan skop yang dipersetujui kami, saya gembira untuk menjawab soalan-soalan tambahan itu," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Najib berkata pengacara rancangan itu Mary Ann Jolley, yang sebelum ini terlibat dalam dokumentari pembunuhan Altantuya Shaariibuu, bertegas untuk membangkitkan perkara itu.

"Topik yang saya telah nafikan penglibatan saya berulang kali sepanjang dekad lalu, satu pembunuhan yang telah melalui banyak pendengaran mahkamah dan, dua minggu lalu, saya telah minta pembantu saya untuk membuat laporan kepada polis agar menyiasatnya semula untuk membersihkan nama saya.

"Saya harap Al Jazeera mengambil kira perkara ini dan tidak lagi melibatkan nama saya terhadap kehilangan tragik seorang ibu muda. Tidak benar sama sekali saya terlibat walaupun dengan segala propaganda bermotifkan politik yang mengaitkan saya.

"Topik itu, serta kebimbangan terhadap keluarga menyebabkan saya gagal kawal perasaan untuk seketika," katanya lagi.

Najib berkata beliau tetap yakin telah berjaya menyatakan pandangan dan menyifatkannya sebagai satu sesi wawancara yang baik.

"Walaupun beberapa kali Mary Ann mengulang soalan terhadap saya walaupun saya telah memberi jawapan sebelum itu, secara keseluruhan saya percaya telah berjaya menyatakan pandangan sebenar mungkin dan saya anggap ia satu wawancara yang baik yang boleh membantu dunia untuk lebih memahami isu 1MDB daripada perspektif saya dan untuk membersihkan nama saya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Al Jazeera untuk wawancara itu dan meminta maaf jika saya gagal kawal perasaan. Saya tidak akan ragu-ragu untuk bersetuju jika mereka ingin mewawancara saya lagi," katanya.

Dalam satu kenyataan media, Al Jazeera berkata Najib beberapa kali "gagal mengawal perasaan" ketika sesi soal jawab selama sejam itu.

Al Jazeera juga berkata Najib jelas "kelihatan jengkel" ketika ditanya tentang isu berlian merah jambu 22-carat yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.


Tiada ulasan: