Sabtu, 20 Oktober 2018

Polis tahan suspek kes langgar lari di Cyberjaya

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Polis berjaya menahan suspek warga asing dalam insiden langgar lari di Shaftsbury Square, Cyberjaya pada Rabu yang mengakibatkan kematian Wan Amirah Wan Alias, seorang Penolong Pengurus GTM Event Sales.

Ia berikutan penahanan tiga lelaki warga asing dari Timur Tengah dan seorang wanita tempatan berhubung kes tersebut, bermula 12 tengah malam tadi di Seri Kembangan dan Cyberjaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor menahan seorang lelaki Yemen berumur 22 tahun di Pusat Bandar Putra Permai Seri Kembangan dan seterusnya di Verdi Residence, Symphony Hills Cyberjaya, membabitkan dua warga Libya berusia 24 dan 20 tahun serta seorang wanita berusia 32 tahun berasal dari Sabah.

Turut dirampas ialah sebuah kereta jenis Hyundai berwarna perak yang terbabit dengan kes berkenaan, katanya.

“Seorang daripada lelaki yang ditangkap mengaku memandu kenderaan Hyundai itu semasa kemalangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Aziz berkata semua tangkapan membabitkan pelajar di sebuah universiti antarabangsa di Cyberjaya.

Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Sepang hari ini.

Wan Amirah, 31, dilanggar sebuah kereta model Hyundai ketika sedang melintas jalan di kawasan tersebut pada Rabu, dan rakaman video kejadian kemalangan itu menjadi tular.

Mangsa yang cedera parah akibat dirempuh dan diseret itu meninggal dunia kira-kira 4 pagi semalam di Hospital Putrajaya.

Pemandu dalam kenderaan dengan nombor pendaftaran BHS 7999 bertindak melarikan diri, turut merempuh empat lagi kenderaan yang diletakkan di kawasan berkenaan iaitu sebuah kereta Toyota Avanza, Perodua Myvi, Honda City dan Proton.

Susulan kejadian itu, polis berusaha mengesan pemilik dan pemandu kereta berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.– Bernama

Tiada ulasan: