Jumaat, 26 Oktober 2018

Permohonan Najib pindah kes ke Mahkamah Tinggi didengar 31 Okt ini

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memindahkan 21 kes pengubahan wang haram dan empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri yang dihadapinya akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Okt ini.

“Permohonan ini akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada pukul 3 petang,” kata peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Raja Shahril Anuar Raja Baniamin, di sini hari ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa berdasarkan afidavit jawapan yang diterima, pihak pendakwaan tidak membuat sebarang bantahan terhadap permohonan berkenaan.

Turut hadir pada prosiding itu ialah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Pada 20 Sept lalu, Najib, 65, mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini pada 2 Ogos dan 7 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada tarikh sama, Anggota Parlimen Pekan itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad Bangunan Ambank Group No. 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.– Bernama

Tiada ulasan: