Selasa, 9 Oktober 2018

K'jaan akan pinda perlembagaan status Sabah, Sarawak

MALAYSIAKINI

   

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

"Sebagai kesinambungan ucapan Perdana Menteri pada 16 Sept 2018 di Kota Kinabalu, saya dengan sukacita mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Perkara 1 (2) untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti sebelum pindaan dibuat pada 1976," kata Liew pada majlis makan malam di Kuching malam tadi sempena lawatan rasmi beliau ke Sarawak.

Dalam ucapannya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa status Sabah sebagai rakan sekutu Semenanjung akan dikembalikan.

"Dalam erti kata lain, Sabah dan Sarawak akan mendapat kembali status seperti yang ditakrifkan di bawah Perkara 4 Perjanjian Malaysia 1963," katanya.

Beliau berkata semua perkara dan isu-isu tertangguh di Sabah dan Sarawak tidak dapat diselesaikan hanya dengan mempunyai Jawatankuasa Kabinet dan pengumuman perdana menteri.

Ketidakadilan tiga dekad

Beliau berharap semua rakyat Malaysia terus bersatu padu dalam meminda Perkara 1 (2) dan membetulkan ketidakadilan yang dialami oleh Sabah dan Sarawak sejak tiga dekad yang lalu serta Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

"Marilah kita semua menjadi sebahagian daripada sejarah ini dan bersama-sama kita berusaha ke arah harapan baru dan negara Malaysia yang lebih baik," katanya sambil menambah bahawa ketika pertama kali memulakan tugas sebagai menteri bertanggungjawab bagi undang-undang, beliau komited untuk meletakkan seratus peratus usaha untuk memenuhi agenda pembaharuan undang-undang serta hal-hal berkaitan Sabah dan Sarawak seperti dinyatakan secara khusus dalam teras keempat manifesto Pakatan Harapan.

Selain itu, beliau berkata Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) telah membuat beberapa cadangan untuk pembaharuan institusi di negara ini termasuk badan kehakiman.

"Ia termasuk cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang baharu yang kerajaan memutuskan untuk menuruti cadangan ini dan melantik empat ahli baharu suruhanjaya itu dengan pelantikan tiga bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan pakar undang-undang perlembagaan.

"Saya percaya sepenuhnya bahawa pembaharuan dalam institusi kehakiman termasuk perubahan umur persaraan hakim," katanya.

Pindaan Perkara 125

Liew berkata di negara-negara lain seperti Australia dan United Kingdom, para hakim bersara pada umur 70 tahun dan hakikatnya ada cadangan di Australia bahawa para hakim harus bersara pada umur 80 tahun asalkan mereka lulus pemeriksaan perubatan.

Beliau berkata, baru-baru ini hakim Mahkamah Agung India, Hakim Kurian Joseph, juga menggesa kerajaan India supaya umur persaraan hakim dinaikkan kepada 70.

“Ini adalah isu global yang harus diambil perhatian dengan sewajarnya oleh kerajaan.

“Dengan ini, saya dengan sukacita mengumumkan bahawa kerajaan akan mencadangkan untuk menaikkan umur persaraan hakim kepada 70 tahun.

Cadangan ini memerlukan pindaan pada Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan dan ia akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang bersama-sama dengan pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.- Bernama


Tiada ulasan: