Sabtu, 27 Oktober 2018

Had umur kahwin di Johor ditetapkan minimum 18 tahun bagi lelaki dan wanita

Bernama
Had umur kahwin di Johor ditetapkan minimum 18 tahun bagi lelaki dan wanita
Had umur perkahwinan di Johor ditetapkan minimum 18 tahun bagi lelaki dan perempuan beragama Islam dan bukan Islam. - Gambar hiasan
 
JOHOR BAHRU: Had umur perkahwinan di Johor ditetapkan minimum 18 tahun bagi lelaki dan perempuan beragama Islam dan bukan Islam seperti diselaraskan peringkat pusat.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata sebelum ini, usia perkahwinan di negeri ini dibenarkan minimum 18 tahun untuk lelaki manakala 16 tahun untuk perempuan.

Beliau berkata bagaimanapun, perkahwinan di bawah 18 tahun masih boleh diberi kelonggaran untuk dilakukan dengan mengikut alasan munasabah selain perlu mendapat kelulusan menteri besar.

"Dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang lepas (16 Okt di Putrajaya), kita (kerajaan) sudah tetapkan perkahwinan tidak kira Islam atau bukan Islam berumur 18 tahun ke atas tetapi boleh diberi kelonggaran, mestilah munasabah.

"Dibolehkan juga berkahwin di bawah umur 18 tahun tetapi dengan mendapat kelulusan menteri besar atau ketua menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perdana Belia Negara 2018 peringkat Johor di sini pada Ahad.

Osman berkata had umur minimum 18 tahun tersebut juga sudah dibincangkan dengan Peguam Negara.

Sementara itu, mengenai Bajet Johor 2019 yang dijadual dibentang 29 Nov ini, beliau berkata ia akan berlandaskan lapan teras di bawah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 yang merangkumi melaksanakan pembangunan lestari, demokrasi dinamik dan kesaksamaan sosial, urus tadbir cekap, berintegriti dan demokratik, penggerak zon perdagangan dan komuniti digital serta memperkasa sistem pendidikan Islam, modal insan dan warisan Johor.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan meneliti inti pati Bajet 2019 yang akan dibentang Perdana Menteri, 2 Nov ini supaya sebarang rancangan di negeri ini selari dengan pusat.

Ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri yang meminta cadangan daripada rakyat dalam merangka inti pati Bajet Johor, beliau berkata ia bagi memastikan kerajaan mendengar idea yang baik daripada rakyat.

"Badan bukan kerajaan (NGO) dan media juga, kalau ada idea, boleh bantu kita (kerajaan negeri). Ini bukan semata-mata idea dan kehendak kerajaan, kita mendengar idea yang baik daripada rakyat," katanya.

Sementara itu, pada majlis itu, lapan pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2018 peringkat Johor membawa pulang wang tunai keseluruhan RM43,000, piala iringan dan sijil penghargaan antaranya Fauzi Faizal dari Kelab Belia Sungai Tiram yang memenangi kategori belia lelaki, Nor Latifah Ali Syaiful dari Persatuan Belia Bintang Selatan memenangi kategori wanita manakala Majlis Belia Daerah Segamat memenangi kategori Badan Gabungan Terbaik Majlis Belia Negeri Johor. -- BERNAMA

Tiada ulasan: