SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ‘kagum’ terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Wah hebatnya menteri agama boleh menentukan siapa golongan homoseksual yang terlibat dan tidak terlibat dalam aktiviti songsang,” katanya menerusi catatan di Twitternya.

Catatan Twitter itu dibuat sebagai respons ringkas Asyraf terhadap kenyataan Mujahid yang mendakwa tidak semua golongan gay dan transgender di negara ini terbabit dalam hubungan songsang.

Mujahid berkata demikian kepada media di lobi parlimen hari ini ketika diminta mengulas kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mendedahkan ada kira-kira 310,000 golongan gay tahun ini, berbanding 173,000 lima tahun lalu.

Kenyataan Mujahid itu, sekali lagi mengundang kontroversi dan tular di media sosial.