Khamis, 30 Ogos 2018

Kerajaan kaji semula yuran AP RM10,000

Nizam Zain
Dr Ong Kian Ming
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming. foto AFFAN FAUZI
 

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji semula caj RM10,000 sebagai bayaran pemilikan Permit Import (AP) Terbuka yang diamalkan sejak pemerintahan kerajaan terdahulu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, amalan itu merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaian kepada Dasar Automotif Nasional yang akan diumumkan akhir tahun ini.

“Dari segi harga AP RM10,000 ini juga akan dikaji semula dalam Dasar Automotif Nasional dan pada masa sekarang kita rasa tidak begitu sesuai untuk saya menjawab kerana ia akan mendahului pengumuman dasar itu nanti.

“Penambahbaikan Dasar Automotif Nasional baharu akan mementingkan daya saing dan kita juga akan memberi kepentingan daya saing dari segi merombak semula semua monopoli yang ada dalam industri ini,” katanya pada sidang Dewan Negara, di Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Chai Kim Sen yang bertanyakan mengenai pengusaha kereta perlu membayar yuran sebanyak RM10,000 bagi setiap AP terbuka.

Kian Ming juga berkata, bagi mengelakkan pemberian AP itu disalahkangunakan, kementeriannya akan mengenakan syarat baharu yang lebih ketat kepada pengusaha kereta.

“Syarikat mesti mempunyai pengalaman dan sedang beroperasi dalam bidang penjualan dan pengedaran kenderaan kereta, motorsikal atau kenderaan perdagangan sekurang-kurangnya dua tahun.

“Syarikat ini juga mesti mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta, syarikat mesti sedia ada memiliki kemudahan ruang pejabat dan bilik pameran yang bersesuaian.

“Penjualan atau pengimportan hendaklah dijalankan oleh syarikat AP terbuka sendiri tanpa menggunakan syarikat penghantaran ataupun pihak tengah, pelantikan wakil pengedar juga tidak dibenarkan.

“Selain itu penjualan kereta kepada syarikat-syarikat yang menjual kenderaan baru dan terpakai bagi tujuan penjualan semula juga tidak dibenarkan,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: