Khamis, 30 Ogos 2018

'Kenyataan Najib, pemimpin MIC mengenai rakyat tanpa IC memualkan'

 
   
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan dibidas atas kenyataan mereka mengenai jumlah penduduk tanpa kad pengenalan.

Ahli Majlis Seberang Perai, David Marshall menyifatkan kenyataan kedua-dua pemimpin itu sebagai "memualkan" dan berkata mereka masih berangan kerana tidak mahu menerima hakikat BN telah ditolak pada pilihan raya umum lalu oleh rakyat Malaysia dan masyarakat India.

Bercakap kepada Malaysiakini, Marshall meminta kedua-dua mereka menjawab soalan-soalannya jika mereka mempunyai jawapan.

"Adakah Najib dan Mohan mempunyai angka sebenar? Berapa ramai yang sebenarnya memegang IC merah dan berapa ramai daripada mereka adalah orang India?

"Berapa banyak kelahiran telah didaftarkan dan daripada perangkaan itu, berapa banyak bayi daripada keluarga India yang tidak didaftarkan kerana ibu bapa mereka tidak mempunyai dokumen yang sah?

"Berapa banyak pelajar daripada sekolah Tamil tidak mempunyai sijil kelahiran dan berapa ramai yang tidak dapat meneruskan pengajian di sekolah menengah kerana mereka tidak mempunyai MyKad?" Soal Marshall.

"Angka-angka ini akan membuktikan propaganda MIC dan kebohongan bahawa bilangan orang tanpa kerakyatan hanya 3,853," kata Marshall yang ditujukan kepada Najib dan Mohan.

Marshall merujuk kepada dua laporan di Malaysiakini yang memetik Najib mengucapkan terima kasih kerana satu lagi 'fitnah' terhadap BN sebelum PRU14 telah dibetulkan, manakala Mohan menuduh HARAPAN berbohong mengenai jumlah 300,000 orang India tiada IC.

Elok Najib tumpu kes kleptokrasi, skandal 1MDB

Kenyataan Najib dan pemimpin MIC ini berdasarkan penjelasan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Aziz Jamman bahawa Jabatan Pendaftaran Negara hanya menerima 3,853 borang daripada orang tanpa IC dan 1,683 permohonan telah diselesaikan sementara selebihnya sedang diproses.

Marshall berkata Mohan tidak layak untuk meminta HARAPAN memohon maaf kerana partinya sendiri gagal menangani masalah rakyat tanpa keraguan ketika berkuasa.

Marshall berkata MIC juga gagal memperbaiki status sosial, ekonomi, politik dan pendidikan masyarakat India.

Beliau juga menasihatkan Najib supaya menumpukan kepada kes kleptokrasi yang sedang berjalan, yang mana MP Pekan menghadapi tujuh pertuduhan yang berkaitan dengan skandal 1MDB .

Beliau menegaskan kenyataan HARAPAN sebelum PRU14 bahawa seramai 300,000 orang tanpa IC adalag benar dan berkata MIC sebelum ini menafikan wujud orang tanpan IC di negara ini.

Awal Ogos ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata warga tanpa IC yang berusia 60 tahun ke atas akan diberikan kad pengenalan.

Tiada ulasan: