Selasa, 28 Ogos 2018

Kantoi sorok duit majikan di masjid

Sinar Harian/ ASTRO AWANI
Kantoi sorok duit majikan di masjid
Wang tunai berjumlah RM32,070 disembunyikan suspek berjaya ditemui semula. -Sinar Harian
 
SHAH ALAM: Kononnya membuat laporan disamun sebaliknya sorok duit dalam masjid. Itu yang dilakukan seorang lelaki sebelum perbuatannya berjaya dibongkar pihak polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata lelaki berusia 24 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong kononnya duit sebuah syarikat stesen minyak di Puchong yang dibawanya disamun di persimpangan lampu isyarat Puchong Perdana.

Menurutnya lelaki yang merupakan pekerja stesen minyak itu mendakwa wang berjumlah RM30,000 itu dibawa untuk didepositkan ke dalam akaun bank.

“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota polis jalankan siasatan ke atas lelaki tersebut namun dapati terdapat keraguan dalam keterangannya.

“Hasil siasatan lanjut, suspek didapati buat laporan palsu berhubung kes samun yang sebenarnya tidak berlaku dan dia dipercayai ingin mencuri duit tersebut,” katanya.

Mohammad Azlin berkata, polis kemudian membawa suspek ke Masjid As-Salam Puchong Perdana sebelum lelaki terbabit menunjukkan tempat dia menyembunyikan duit tersebut.

Pihak polis menemui wang tunai berjumlah RM32,070 dalam sebuah beg yang disimpan di masjid tersebut.

“Suspek dikatakan biasa dengan persekitaran masjid tersebut. Hasil siasatan, suspek dakwa dia sendiri tidak tahu jumlah sebenar wang yang disembunyikan sebelum itu.

“Kes disiasat bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,”katanya suspek direman buat kali kedua hingga lusa.

Beliau berkata, ia merupakan kes laporan palsu kedua tahun ini di Subang Jaya.

Pihaknya memberi amaran kepada mana-mana individu yang membuat laporan polis palsu akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.

Tiada ulasan: