Khamis, 30 Ogos 2018

Azmin ulas HSR: Kami makin hampir capai rundingan menang-menang

MALAYSIAKINI

   
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia dan Singapura semakin hampir menyelesaikan rundingan yang memenangkan semua pihak bagi projek Kereta Api Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Ini berikutan suatu mesyuarat dengan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan.

"Berunding lanjut dengan menteri, Khaw. Kami semakin hampir merundingkan penyelesaian yang menang-menang mengenai HSR.

Terima kasih atas kerja keras para pegawai daripada kedua-dua pihak," katanya pada ciapan di Twitter.

Azmin tiba di Singapura malam tadi dengan "jadual yang ketat". Beliau juga bertemu dengan Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan.

"Mendapat peluang bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara yang luas termasuk kebimbangan geopolitik. Membincangkan cara terbaik bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala ke peringkat seterusnya," kata Azmin pada ciapan Twitter yang berasingan.

Azmin telah mengadakan perbincangan berterusan dengan Singapura berikutan hasrat kerajaan Pakatan Harapan baru untuk mengkaji semula projek HSR.

Azmin mendedahkan kos akhir projek itu, termasuk pengambilan tanah, boleh meningkat sehingga RM110 bilion.

Putrajaya, yang pada awalnya mahu membatalkan projek itu, berkata ia terbuka dengan cadangan menangghkan pembinaan HSR. Ia juga bertujuan untuk mengurangkan kos projek yang tinggi.

Walau bagaimanapun, sebarang penyelewengan daripada perjanjian asal akan melibatkan pampasan yang perlu dibayar ke Singapura kerana ia merupakan projek dua hala.

Rundingan mengenai syarat-syarat baru telah bermula sejak awal bulan ini.

Tiada ulasan: