Rabu, 29 Ogos 2018

Aishah seperti kacang lupakan kulit, kata Vida

Wartawan MalaysiaGazette

MGF10082017_DATIN-SERI-ROSMAH_ULANGTAHUN-MAJALAH-WANITA-48_10-681x454
Pengasas produk Vida Beauty, Datuk Seri Vida.

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman menyifatkan juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah seperti ‘kacang lupakan kulit’ gara-gara isu kontroversi hadiah rantai emas putih bertatah batu permata yang didakwa penyanyi itu palsu.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berkata, sebagai penaja utama GV4 tahun lalu, pihaknya banyak menyokong kerjaya Aishah yang suram sebelum memasuki program realiti itu.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Aishah terdesak memerlukan wang tunai apabila enggan menerima tawaran pertukaran hadiah dengan rantai emas putih itu dengan Lavida Coin iaitu bisnes baharunya dalam mata wang kripto.

“Masa program itu, dia nyanyi sedap ke salah sikit-sikit ke, kita tetap sokong dia. Saya sebagai penaja bukannya nak tunjuk kuasa tapi janganlah seperti kacang lupakan kulit.

“Nampak macam dia terdesak hendak duit dan kenapa duit jadi pertaruhan sangat? Tak banyak show ke? Dah jadi juara GV4, harga show mahal segala. Jadi kalau betul nak duit dan jadi kaya, sertai Lavida Coin,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Vida juga memberi kata dua kepada Aishah dan menegaskan tidak akan memenuhi permintaan penyanyi berusia 53 tahun itu yang mahukan wang tunai atau barang kemas sama nilai sebagai pertukaran.

“Astro perlu campur dalam isu ini kerana telah mencalar imej saya. Saya baca di Instagram ramai kutuk saya tapi mereka tidak tahu hal yang sebenar.

“Sebenarnya, hadiah berlian itu bukan ditawarkan kepada juara seperti yang diuar-uarkan. Saya bagi atas dasar ikhlas dan tiba-tiba jadi begini pula.

“Saya pun tidak dapat pulangan bagi hadiah berlian itu. Jadi nama saya perlu dibersihkan,” katanya sedih.

Kontroversi Vida dan Aishah timbul apabila penyani lagu Janji Manismu itu mendedahkan mengenai ketulenan barangan kemas tersebut dan meluahkan rasa kecewa apabila pemeriksaan di kedai barang kemas mendapati rantai tersebut bukan asli dan tidak mempunyai nilai. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: