Rabu, 16 November 2016

Tiada babak sentuhan bukan muhrim dalam BoBoiBoy

Nadia Azam


Pihak produksi animasi popular BoBoiBoy, Animonsta Studios Sdn Bhd memberi penekanan terhadap babak bersentuhan bukan muhrim dalam siri terbaru bagi mengelak sensitiviti.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Nizam berkata, BoBoiBoy Galaxy tampil lebih peka agar dapat menjadi teladan kepada kanak-kanak yang menjadi penonton utama.

"Perbuatan itu dikhuatiri akan menjadi ikutan penonton cilik maka kami memastikan tiada langsung babak sebegitu dipamerkan," katanya.

Mohd Nizam ditemui pada sidang media pengumuman BoBoiBoy Galaxy di Kuala Lumpur hari ini.

Animasi Boboiboy Galaxy diterajui oleh lima karakter iaitu BoBoiBoy, Gopal, Yaya, Fang dan Ying.
Boboiboy Galaxy dijadual tayangan pada 25 November depan di TV3.

Penggunaan bahasa

Menurutnya, selain itu Animonsta atau kini lebih dikenali sebagai Monsta turut menitikberatkan penggunaan bahasa dalam siri animasi musim terbaru itu.

Katanya, pihaknya belajar dari kesilapan terdahulu apabila terlepas pandang menggunakan perkataan "tak guna" dalam rancangan musim terdahulu.

"Saya akan memastikan pemeriksaan terhadap sesebuah naskhah sekurang-kurang dilakukan sebanyak 10 kali sebelum disiarkan.

"Walaupun perkataan 'tak guna' yang digunakan mungkin tidak memudaratkan, bagi kami perkataan itu kurang sesuai.

"Atas inisiatif mendidik, kami tidak mahu mengulangi kesilapan sama terutama apabila ada teguran dari ibu bapa," katanya.

Pada sidang itu juga, rancangan kesinambungan kepada siri program animasi 3D BoBoiBoy turut diumumkan membuat pembaharuan jenama.

"Perkataan Galaxy (digunakan) bermaksud pengembaraan BoBoiBoy dan kawan-kawan diperluaskan hingga ke ruang angkasa lepas.

"Bentuk fizikal karakter juga diperbesarkan tiap kali mereka berlawan menentang musuh supaya dilihat bersesuaian dengan umur," katanya yang bakal memasarkan rancangan itu ke seluruh Asia.


Tiada ulasan: