Rabu, 16 November 2016

PKR kecam tindakan terhadap Muhyiddin

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali


SHAH ALAM – PKR mengecam tindakan tekanan politik ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perbahasan beliau mengenai 1MDB di Parlimen, baru-baru ini.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, semua ahli parlimen tanpa mengira parti seharusnya bersatu menentang tindakan zalim dan langkah terdesak yang diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tekanan politik yang sama dilakukan terhadap Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas perbahasan mereka di Parlimen.

“PKR tegas mengingatkan perdana menteri bahawa rakyat menolak segala bentuk salah guna kuasa dan percubaan terdesak mengekalkan kuasa kleptokrasi,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya Parlimen mahu menjadi kelas pertama di dunia, maka ahli parlimen wajar diberi kebebasan berucap dan berbahas seperti dijamin Perlembagaan.

"Muhyiddin berusaha dari dalam kerajaan untuk membanteras jenayah dalam isu 1MDB iaitu skandal kleptokrasi terbesar di dunia demi menyelamatkan negara dan menjaga kepentingan rakyat,” katanya.


Tiada ulasan: