Khamis, 17 November 2016

Konvesyen Pakatan Harapan Yang Anti-Klimaks

Dr Kamarul Zaman Yusoff,


ph


Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Shah Alam, Sabtu lalu, ditunggu oleh banyak pihak kerana ia merupakan konvensyen pertama PH sejak ditubuhkan pada 22 September 2015. Sejak diwujudkan, tidak banyak program penyatuan rasmi PH melainkan pemeteraian Perjanjian PH pada 9 Januari 2016 bagi mengikat kesemua parti mengenai prinsip dan kaedah dalam membina kesatuan politik.


Sewaktu mengumumkan pemeteraian Perjanjian PH, Ketua Sekreteriat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, menyebut betapa tumpuan seterusnya PH adalah untuk membentuk dokumen Dasar-Dasar Bersama PH ke arah mencari penyelesaian berkesan kepada masalah rakyat. Dokumen ini dijanji untuk diumumkan di Konvensyen PH yang dijadual diadakan menjelang Jun 2016.

Disebutkan waktu itu betapa Dasar-Dasar Bersama PH ini ada kelainan kerana lebih radikal dan memberi fokus terhadap isu-isu utama rakyat. Ini bagi meyakinkan rakyat PH adalah pilihan terbaik untuk membela kepentingan mereka. Antara perkara yang dijanji untuk diberi penekanan adalah bagaimana PH menangani isu kebajikan dan sosioekonomi serta politik pengundi Melayu.

Jun 2016 berlalu tanpa konvensyen dijanjikan. Sebaliknya, Majlis Presiden PH pada 12 Julai 2016 mengakui PH mempunyai pelbagai kelemahan yang perlu diselesaikan dengan segera agar kepentingan rakyat didahulukan. Pembentangan dan rundingan dengan rakyat mengenai Dasar-Dasar Bersama PH yang menyeluruh akan dipercepatkan supaya tumpuan kembali kepada rakyat.

Di sebalik pelbagai isu besar dalam negara baik membabitkan parti pembangkang mahupun parti kerajaan, Majlis Presiden PH terus lesu tidak bermaya. Mesyuarat Majlis Presiden PH hanya mampu dilangsungkan pada 12 Oktober dengan memutuskan Konvensyen PH diadakan pada 12 November bertujuan untuk menzahirkan komitmen pembentukan gabungan pembangkang yang kuat.

Pada 24 Oktober, dalam majlis pelancaran buku “The End of UMNO?”, Saifuddin, sewaktu menjawab kenyataan Datuk Ambiga Sreenevasan yang menyifatkan PH tidak menunjukkan kesediaan untuk menggantikan BN, termasuk kegagalannya mengumumkan kabinet bayangan atau bakal Perdana Menteri, menyebut nama bakal Perdana Menteri akan diputuskan di dalam Konvensyen PH.

Menjelang berlangsungnya Konvensyen PH pula, bertiup khabar bahawa majlis ini akan menyaksikan termeterainya Perjanjian Kerjasama PH dan PPBM. Malah, deraf yang membutirkan empat perjanjian antara mereka juga menunjukkan kesemuanya telah siap dirangka oleh PH ke arah merealisasikan kewujudan gabungan pembangkang yang kuat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Butiran perjanjian tersebut membabitkan persetujuan mereka untuk berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/63; memperjuangkan agenda reformasi; meletakkan satu calon di dalam sesuatu pilihan raya; dan berusaha berunding dengan parti yang belum berada di dalam perjanjian untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.


Begitupun, Konvensyen PH tercemar dengan demonstrasi NGO Pro PH/Sayangi PH dan Kelab Penyokong PH Malaysia membantah penyertaan PAS dalam PH. Di dalam memorandumnya kepada pemimpin PH, mereka merayu agar PH, PPBM dan WARISAN memutuskan sebarang kerjasama atau rundingan dengan PAS yang didakwa merugikan dan hanya melambatkan gerak kerja mereka.

Sentimen menolak kerjasama atau rundingan dengan PAS, yang disertai dengan pelbagai sindiran terhadap PAS, bergema di dalam Konvensyen PH oleh sesetengah pemimpin PKR, Amanah dan DAP. Masa yang sama, sesetengah pemimpin lain konsisten menekankan keperluan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN sekali gus bersikap positif dengan PAS.

Begitu juga Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang di dalam ucapannya turut menyentuh keperluan menyatukan barisan pembangkang, dengan menyebut betapa pertandingan tiga penjuru melawan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini telah memberikan kemenangan mudah kepada BN walaupun ia dilihat menghadapi permasalahan.

Muhyiddin secara tidak langsung menempelak pemimpin PH bila meminta majlis menandatangani perjanjian ditangguhkan dahulu untuk memberikan masa yang cukup kepada semua pemimpin PPBM dan PH berbincang. Antara lain, beliau menyebut keperluan untuk merangka dasar-dasar bersama yang berpaksikan kepentingan rakyat yang akan dijadikan asas pembuatan dasar-dasar negara.

Memalukan bagi pemimpin PH bila janji mereka untuk mengumumkan Dasar-Dasar Bersama PH di dalam konvensyen mereka gagal ditepati. Ia menjadi petanda ketidakseriusan mereka menangani permasalahan rakyat dan ketidaksediaan mereka memerintah negara. Apatah lagi bila ketiadaannya digunakan pula oleh Muhyiddin untuk menangguhkan Perjanjian Kerjasama PH dan PPBM.

Lebih memalukan apabila pemimpin bawahan seperti Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh, pula yang mengingatkan pemimpin PH supaya mengurangkan cerita keburukan BN sebaliknya melebihkan hebahan mengenai penyelesaian masalah rakyat. Kata beliau, pengundi hari ini mahu tahu sama ada PH sedia membentuk kerajaan dan apa PH akan lakukan sekiranya berjaya menjadi kerajaan.

Begitu juga dengan pemimpin seperti Timbalan Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah Al Jundi, yang menyeru PH supaya menyediakan dokumen agenda Melayu Islam dalam mendepani kebimbangan pengundi Melayu Islam pada PRU 14. Kalau PH gagal mengeluarkan tawaran dokumen agenda baru Melayu Islam ini maka UMNO akan terus berkuasa selepas PRU 14, katanya.

Apa yang jelas, Konvensyen PH bukan sahaja gagal mengumumkan Dasar-Dasar Bersama PH yang dijanjikan oleh Saifuddin, tetapi juga gagal memenuhi janji beliau untuk menentukan nama bakal Perdana Menteri. Di sebalik gesaan sama Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub, selaku pembahas pertama, isu ini dimatikan terus oleh Penasihat PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di dalam ucaptama beliau, Mahathir menyebut perkara utama dalam perjuangan pembangkang sekarang ini ialah untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak. Dalam sidang media beliau pula, disebutkan keperluan menguasai Putrajaya dahulu. Selepas menang barulah boleh dinamakan sesiapa sahaja daripada parti yang memenangi kerusi terbanyak untuk jadi Perdana Menteri, katanya.

Tidak hairanlah jika ada yang berkata Konvensyen PH ini telah dirampas oleh Mahathir. Tiada lain selain keburukan Najib yang diucapkan beliau, termasuk tuduhan terbaru beliau kononnya pilihan raya di bawah Najib lebih buruk dpd pilihan raya di mana-mana negara di dunia, dan kononnya BN menang dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana pengundi disogokkan wang.

Pada akhirnya, tiada apa yang diputuskan secara rasmi dalam Konvensyen PH ini. Hakikat ini terbukti apabila slot “Resolusi” di dalam aturcaranya ditiadakan terus. Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, boleh sahaja berpantun mengenai tekad ‘satu lawan satu’ dan Mahathir boleh terus berkokok mengenai tekad ‘satu logo satu manifesto’, tetapi realitinya lain.

Kewujudan Amanah dalam PH adalah bagi menggantikan tempat PAS dalam Pakatan Rakyat (PR). Jika PH-PPBM bekerjasama dengan PAS, di manakah lagi relevannya Amanah dalam PH? Apatah lagi dengan pelbagai sindiran pedas dilontarkan seperti ‘Pak Haji yang korupsi’, ‘dapat dedak’ dan sebagainya yang sudah tentulah akan menjauhkan lagi PAS daripada mereka.

Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN).

Tiada ulasan: