Isnin, 21 Mac 2016

Zahid: Abaikan 'kitab lama', ular tak patuk tiga kali

Alyaa Azhar  




Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberitahu ahli-ahli Umno Selangor supaya mengabaikan 'bekas ahli Umno' tertentu, yang menurutnya masih campur tangan dalam hal ehwal parti itu walaupun sudah meninggalkannya.

Tanpa menyebut nama tetapi merujuk dengan jelas kepada Tun Mahathir Mohamad, Zahid berkata 'orang itu' yang kini dalam misi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, juga melakukan perkara sama kepada perdana menteri ketiga Tun Hussein Onn dan perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Hanya kali ini, Zahid berkata, 'ular' tidak akan mematuk sebanyak tiga kali.

"Ular janganlah patuk tiga kali di tempat yang sama. Ular hanya akan patuk sekali saja. Insya-Allah, patukan ketiga, bukan kita nak riak. Kita minta patukan ketiga tidak ada bisanya," kata beliau ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan cawangan Umno Selangor.

Bercakap di hadapan kira-kira 4,000 pemimpin akar umbi Umno Selangor hari ini, Zahid berkata bahawa 'orang itu' kini seperti seorang suami yang 'gilakan talak'.

"Mungkin orang tu gila talak, mungkin. Mungkin orang tu merasakan apabila tak ada kepedulian dalam Umno, bila dia keluar, dia tulis surat kepada ketua cawangan, supaya bersama dengan gerakan yang dianjurkan beliau," katanya.

Zahid turut memberi perumpaan bahawa individu itu seperti 'kitab lama' yang memang harus dihormati dengan meletakkan di tempat tinggi, tetapi tidak lagi boleh dibaca kerana membawa 'kisah lama'.

"Saya minta ketua-ketua cawangan di Selangor jangan ambil pedulilah. Ibarat kitab dah buruk dah, letak kat atas tapi tak boleh baca dah.

"Kita hormat kitab lama kita letak atas la, tapi jangan pijak.

"Kita letak di atas tapi jangan baca sebab kisah dia kisah lama, nostalgia lama.

"Kita mahu melangkah ke hadapan, kita tinggalkan itu sebagai sejarah, sejarah yang minta ayahanda Hisham (Hishamuddin Hussein) tinggalkan jawatan (perdana menteri)," ujarnya.


Tiada ulasan: