Selasa, 1 Mac 2016

Tun M ambil langkah tepat keluar Umno - Salleh Keruak

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah tepat apabila beliau keluar daripada Umno, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.
 
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai pilihan terbaik bagi Dr Mahathir ekoran hubungan beliau dengan Umno atau pemimpin lain tidak dapat dipertahankan lagi.
 
"Tindakan Dr Mahathir memudaratkan parti dan adalah kelihatan tidak logik sekiranya beliau terus berada dalam parti, dan pada waktu yang sama, menentang parti.
 
"Sekiranya Dr Mahathir ingin terus menyerang Umno, maka beliau perlu berbuat demikian di luar Umno. Itu merupakan perbuatan mulia dan beretika untuk dilakukan.
 
"Ini kali ke-3 Dr Mahathir meninggalkan Umno," katanya melalui catatan terbaru dalam laman blognya.
 
Kali pertama ialah apabila beliau dipecat presiden parti ketika itu Tunku Abdul Rahman. 
 
Selepas itu beliau sekali lagi keluar daripada Umno pada 2008 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui parti itu.
 
Salleh berkata beliau sedih dengan episod kali ini, bukan kerana Dr Mahathir sekali lagi meninggalkan Umno tetapi kerana keadaan pengundurannya.
 
Tiada siapa boleh menafikan Dr Mahathir banyak berjasa kepada negara sepanjang 22 tahun beliau menjadi perdana menteri, "walaupun tempoh beliau menyandang jawatan itu, tidaklah bebas sepenuhnya daripada kecacatan."
 
"Tetapi, peristiwa yang berlaku pada tahun lepas serta pengundurannya hari ini akan lebih diingati daripada kebaikan yang beliau lakukan.
 
"Saya ingin melihat sisi baik dan buruknya secara saksama dan ingin mengingatkan orang ramai walaupun ini merupakan  sesuatu yang menyedihkan dalam sejarah parti, terdapat juga perkara yang baik dan kita perlu menerima gandingan kedua-duanya.
 
Salleh berkata, beliau sedar pengunduran Mahathir itu tidak akan menamatkan kritikan Mahathir terhadap Umno. 
 
"Saya hanya berharap agar kita dapat menjaga maruah dan tertib serta tidak membawa negara terjerumus ke dalam politik longkang.
 
"Dan, dengan penuh keikhlasan, saya mengharapkan yang terbaik bagi Dr Mahathir pada masa akan datang," katanya.
 
 

Tiada ulasan: