Rabu, 2 Mac 2016

Separuh ahli UMNO akan keluar parti – Anina



Oleh Faiz Zainudin


PETALING JAYA: Separuh daripada tiga juta ahli UMNO didakwa akan meninggalkan parti itu bagi mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.Anina Saadudin berkata,
tindakan itu kerana ahli UMNO sedar parti itu tidak lagi menjaga kepentingan orang Melayu sebaliknya ia menjadi parti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.

“UMNO kini menjadi parti untuk Najib sahaja. Ia parti untuk pencuri wang negara dan kuncu-kuncunya sahaja.

“Lebih tiga juta ahli UMNO. Saya percaya lebih separuh darinya juga sudah keluar dari parti dalam hati masing-masing. Malah saya percaya akan ramai lagi pemimpin UMNO akan keluar parti.

“Malah secara peribadi saya gembira untuk bersama-sama Tun M berjuang di luar parti,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Dr Mahathir mengumumkan keluar UMNO sebagai tanda protes terhadap Najib hari ini.

Mengulas lajut Anina berkata, buat masa ini mereka tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti lain, sebaliknya akan terus berjuang untuk mengembalikan UMNO yang sebenar.

“Kami tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti kerana roh perjuangan kami adalah UMNO yang tulen. UMNO kini parti Najib ia bukan lagi UMNO yang tulen. Malah kami juga tidak berhasrat menubuhkan parti baharu,” katanya yang dipecat UMNO.~FMT

Tiada ulasan: