Isnin, 21 Mac 2016

PRU14: PAS-IKATAN sedia berdepan tiga penjuru

 
Masih terlalu awal untuk PAS menilai bok mana yang kuat dan menyerahkan kepada pengundi untuk membuat penilaian.


hadi,ikatan


KUALA LUMPUR: Blok pakatan ketiga gabungan PAS-IKATAN sedia berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-14, walaupun bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Pendirian itu dibuat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana gabungan baharu itu tiada kaitan dengan PH dan tidak akan sesekali bekerjasama dengan gabungan pembangkang PKR, DAP dan AMANAH.

“Kita bersendiri, takkan duduk dengan Pakatan Harapan, kita masih dalam gabungan kita sendiri, terpulang kepada mereka sama ada nak terima konsep kita atau tidak,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

Mengulas mengenai kekuatan PAS-IKATAN untuk berhadapan dengan PH, Abdul Hadi menjelaskan masih terlalu awal untuk menilai blok mana yang kuat.

“Kita tunggu dan lihat, terlalu awal untuk saya jelaskan,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi turut mengulas kenyataan Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad yang menuduh PAS secara sengaja menekankan agenda pelaksanaan hudud untuk mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat sehingga gabungan pembangkang itu berpecah.

Katanya, tuduhan itu tidak akan melemahkan PAS untuk terus membawa agenda perjuangan hudud.
“Dia tak setuju dengan hudud, dia hanya satu undi sahaja, masih berjuta undian lagi yang setuju,” katanya.

Tiada ulasan: