Selasa, 15 Mac 2016

Pertandingan satu lawan satu PRN Sarawak boleh dicapai - Azmin

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz & Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Selagi parti-parti pembangkang terima hakikat bahawa hanya akan ada pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), maka selagi itulah wujud ruang perbincangan malah ia akan berterusan hingga ke hari penamaan calon, tegas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
"Masih ada ruang perbincangan, biasanya kerusi ini kita bincang sampailah sebelum penamaan calon.
 
"Saya rasa yang penting ialah kalau semua parti perlu menerima hakikat bahawa (hanya pertandingan) satu lawan satu, maknanya kita ada peluang untuk perbincangan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
 
Beliau dalam pada itu menasihatkan rakan-rakan di dalam blok pembangkang supaya tidak berebut kerusi bagi memastikan hasrat untuk pertandingan satu lawan satu di setiap semua kerusi DUN Sarawak, tercapai.
 
"Ya itu sebaik-baiknya, sebab kita mahu lakukan perubahan dan perubahan ini mesti dibuat secara kolektif yang tidak boleh bersendirian dan ini hanya boleh dilakukan kalau Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan boleh meletakkan hanya seorang calon melawan BN," katanya.
 
Semalam, PAS mengesahkan akan meletakkan calon di 11 kerusi DUN pada PRN Sarawak ke-11, akan datang.
 
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu bertanding untuk menyuburkan amalan demokrasi di Sarawak dengan memberi pilihan kepada rakyat negeri itu calon yang diyakini boleh mewakili mereka ke DUN.
 
11 kerusi DUN tersebut ialah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.
 
Sebelum itu, DAP Sarawak mengejutkan sekutu politiknya PKR, apabila membayangkan mahu menuntut 30-45 kerusi DUN negeri itu pada PRN akan datang.
 
Pengerusinya, Chong Chieng Jen dilaporkan mendakwa PKR tidak mempunyai sokongan dan tidak menyumbang apa-apa kepada rakyat negeri itu seperti apa yang dibuat DAP, iaitu menyediakan prasarana dan banyak lagi.
 
Hasrat Chieng Jen itu bagaimanapun dibidas Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar.
 
Beliau yang juga ADUN Andalas (Selangor) bertegas parti itu sudah memperuntukkan banyak wang, masa dan tenaga untuk mempersiapkan diri menghadapi PRN.
 
Malah calon daripada partinya sudah memulakan kempen sejak dua tahun lalu, ujar Xavier.
 
Beliau juga menasihatkan DAP Sarawak agar tidak sombong dan menghormati hak PKR.
 
 

Tiada ulasan: