Khamis, 3 Mac 2016

Pemimpin Umno sambut baik keputusan Muhyiddin tapi tak setuju heret MT ke ROS

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Beberapa pemimpin Umno memuji tindakan bekas Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil keputusan untuk terus kekal dalam parti walaupun digantung daripada jawatan itu sehingga pemilihan parti akan datang.
 
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, keputusan Muhyiddin itu sekaligus menyanggah persepsi orang ramai terhadap imej kerajaan dan parti yang menjangkakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan keluar parti.
 
"Ini akan memberikan satu persepsi yang sangat baik terutama sekali bagi saya ahli majlis tertinggi yang muda dan generasi muda yang lain," katanya dalam satu temubual.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Muhyiddin untuk terus kekal bersama parti pada sidang medianya pagi tadi.
 
Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun menegaskan akan merujuk penggantungannya itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengesahkan sama ada keputusan itu mengikut perlembagaan parti.
 
Susulan tindakan Muhyiddin itu, Irmohizam berkata Majlis Tertinggi (MT) Umno sudah membuat pertimbangan terbaik untuk menggantung beliau daripada jawatan Timbalan Presiden.
 
"Kita mempunyai Perlembagaan, kita mempunyai etika, mempunyai seksyen-seksyen yang mana ianya menjadi teras dan disiplin bagi setiap ahli tidak kiralah samada pemimpin atau pun bawahan.
 
"Apabila beliau (Muhyiddin) menyatakan kita tidak memperhalusi setiap kenyataan seksyen yang ada, sebenarnya kita melihat semua peringkat seksyen demi seksyen dan artikel sebagainya. 
 
"Yang paling penting sekali, majlis tertinggi mengambil keputusan menggantung jawatan timbalan presiden, dan bukan ahli parti atau pun Ketua Umno Bahagian," katanya.
 
Muhyiddin tak terpengaruh dengan Tun M
 
Senada dengan Irmohizam adalah Ketua UMNO Bahagian Selayang Datuk Abdul Shukor Idrus yang turut memuji tindakan Muhyiddin itu.
 
Katanya, Muhyiddin dilihat tidak mudah terpengaruh dengan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil keputusan untuk keluar parti.
 
"Bagi saya tindakan beliau untuk kekal dalam parti adalah satu tindakan yang bijak, pertama barangkali beliau telah menyedari Umno telah banyak berjasa kepada bangsa, negara dan juga kepada diri beliau sendiri," katanya.
 
Syukur bagaimanapun berharap Muhyiddin mempertimbangkan untuk merujuk keputusan MT Umno ke ROS.
 
"Saya rasa beliau faham, kita di dalam parti, kita tidak boleh bawa perkara ini kepada ROS dan sebagainya.
 
"Beliau harus meneliti semula tindak-tanduk beliau sebelum ini, adakah melanggar tatacara atau pun persempadanan beliau sebagai Timbalan Presiden di dalam Perlembagaan. 
 
"Di dalam Perlembagaan telah termaktub tugas Timbalan Presiden itu, maka itu, beliau patut boleh melihat semula di dalam tatacara Perlembagaan, peranan dan juga tindakan yang boleh beliau lakukan, kalau peranannya dilihat bercanggah, maka itu beliau perlu redha dengan keputusan penggantungan beliau," ujarnya.
 
Syukur turut mengingatkan Muhyiddin mengenai kritikannya terhadap pentadbiran Najib sebelum ini yang tidak menggunakan saluran yang betul.
 
"Saya kira beliau tahu apa yang beliau lakukan, saya masih ingat lagi yang terang-terang beliau lakukan semasa sebelum persidangan Agung Umno, beliau melakukan perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman. 
 
"Apakah perhimpunan yang beliau lakukan itu berpadanan dengan jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden atau pun melanggar sempadan daripada jawatan yang disandangnya," katanya.
 
Muhyiddin menyifatkan penggantungan sebagai timbalan presiden parti itu sebagai proses gopoh dan tidak adil.
 
Muhyiddin menjelaskan beliau tidak dimaklumkan mesyuarat MT minggu lalu mempunyai agenda khas membicarakan kes beliau. 
 
Beliau juga tidak menerima sebarang notis mengenai tuduhan-tuduhan di hadapannya bagi membela dirinya.
 
 

Tiada ulasan: