Jumaat, 11 Mac 2016

PAS umum pakatan baru 16 Mac ini - Takiyuddin

Oleh Azizul Osman & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PAS akan menubuhkan pakatan baru dengan sebuah parti pelbagai bangsa sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) akan datang.
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pakatan itu akan bergerak sebagai sebuah lagi parti politik selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
 
Bagaimanapun perkara itu hanya akan diumumkan pada 16 Mac ini, ujar Takiyuddin. 
 
"PAS akan ada blok pembangkang dia sendiri, saya akan umumkan pada 16 Mac depan kita akan ada satu kerjasama dengan satu badan politik," katanya di lobi Parlimen.
 
Enggan mendedahkan parti sekutu PAS buat masa ini, ujar Takiyuddin, blok terbaru itu adalah bagi memastikan PAS kekal relevan dalam PRU 14 nanti.
 
"Kerjasama politik antara parti dengan parti untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 14, semestinya pembangkang. 
 
"Di Malaysia ada lebih 20 parti politik yang berdaftar jadi ada yang kepunyaan satu kelompok dan ada parti kepunyaan satu bangsa, tapi tujuan untuk menghadapi pilihan raya. Sebab itu kita dah umumkan kita adalah blok pembangkang iaitu blok politik ketiga," katanya lagi.
 
Ditanya sama ada parti sekutu itu merupakan salah satu parti dalam PH, ujarnya PAS secara jelas memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan gabungan itu selepas terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) tahun lalu.
 
"Kita dah beritahu dalam perlembangaan, kita boleh kerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai arah tuju politik yang sama dengan PAS... bukan parti dalam Pakatan Harapan. Kami masih Pakatan Rakyat dengan kerjasama dengan PKR.
 
"Kerjasama adalah berkonsepkan muafakat dengan satu parti politik dan bukan Pakatan Harapan, kami adalah pembangkang dan akan ada parti lain yang akan sertai PAS," jelas Takiyuddin.
 
Mengetengahkan budaya politik matang dan sejahtera, kerjasama itu adalah langkah terbaru PAS dalam mengorak langkah selepas tidak menyertai PH yang kini disertai parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) bersama PKR dan DAP.
 
Dalam pada itu, Takiyuddin mengulangi pendirian bahawa parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan Umno dalam membentuk kuasa baru dalam arena politik negara.
 
 

Tiada ulasan: