Khamis, 3 Mac 2016

PAS tidak sertai deklarasi singkir Najib

 
PAS mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri untuk mengubah kepemimpinan negara.


Datuk Takiyuddin Hassan


PETALING JAYA: PAS sebulat suara untuk tidak bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Majlis Menandatangani Deklarasi menuntut penyingkiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri yang dijangka diadakan pada esok.

Keputusan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan selepas Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Katanya, PAS mengambil keputusan dalam program tersebut kerana parti Islam itu mempunyai pendekatan tersendiri, khususnya melalui blok politik ketiga ke arah mengubah kepemimpinan negara yang ada pada hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, PAS membuat keputusan menghadap Majlis Raja-Raja bagi mencadangkan Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), derma RM2.6 bilion dan SRC International.

Katanya, PAS juga menuntut supaya Parlimen dibubarkan pada kadar segera bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Takiyuddin berkata, mandat harus dikembalikan kepada rakyat bagi menggantikan Kerajaan Persekutuan semasa yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan urus tadbir.

“Selaras dengan itu, PAS mengajak seluruh rakyat untuk bersama PAS dan blok politik ketiga sebagai alternatif menggantikan kerajaan hari ini ke arah membina negara Malaysia yang lebih baik, sejahtera dan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, keputusan Timbalan Presiden UMNO yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus kekal dalam parti itu dilihat sebagai penakut dan tidak yakin menyelamatkan Malaysia.

Katanya, PAS Johor melihat UMNO hilang integriti dan maruah sebagai parti yang mampu membela nasib dan masa depan rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: