Selasa, 8 Mac 2016

PAS bergantung kepada undi Umno bukan perkara baru - Sallehin

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS bergantung pada undi Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU), bukan perkara baru, tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehin Mukhyi.
 
Ia mengukuhkan lagi hujah Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS tidak mampu menang dengan undi dalam pilihan raya daripada ahli-ahli parti semata-mata.
 
"Selama ini pun kita (PAS) akui kita menang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di tempat saya di DUN Sabak, bahawa kita tidak menang hanya dengan undi ahli-ahli PAS. 
 
"Ahli-ahli PAS berjumlah beberapa ribu sahaja. Dan kerana itu, kita menang sebahagian itu melalui undi ahli-ahli Umno sama ada marah dengan calon, pemimpin atau protes. 
 
"(Pada kali ini) kita mahu jumlah ahli-ahli Umno yang ramai lagi untuk mengundi PAS. Sebab itu Presiden PAS menyebut kita melawan prinsip dan sistem Umno, bukan dengan ahli-ahlinya," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Sallehin mengulas kenyataan Hadi yang dirakam menerusi video ketika pemimpin itu berucap pada Ijtima' Tarbawi 1.0 di Dewan Muhibbah, Taman Bolton, Batu Caves, 3 Mac lalu.
 
Hadi, yang menolak Deklarasi Rakyat yang ditandatangani Jumaat lalu mengingatkan ahli-ahli parti itu bahawa Umno bukanlah musuh PAS.
 
Sebaliknya yang ditentang PAS terhadap Umno selama ini adalah prinsip dan ideologi yang dibawa parti pemerintah tersebut, tegasnya.
 
Sallehin kemudiannya diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Marang itu yang mengakui PAS tidak akan menang berdasarkan undi dan sokongan ahli-ahli partinya semata-mata.
 
"Politik matang dan rahmat adalah untuk PAS mengajar ahli-ahli Umno bukan untuk mereka isi borang parti kita. 
 
"Cukup pada peringkat awal ini supaya mereka sedar keperluan untuk menukar sistem dalam negara yang lebih demokratik, adil, telus dan Islamik," ujarnya lagi.
 
Walaupun Hadi menolak Deklarasi Rakyat, beberapa pemimpin PAS yang lain turut hadir ke majlis tersebut selepas diberi 'keizinan' dan bergantung kepada hak sebagai rakyat.
 
Mereka adalah Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairudin Aman Razali, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan ADUN Salor, Datuk Husam Musa. 
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditemui wartawan Antarapos di lobi Parlimen hari ini berkata, Khairuddin dan Mustafa hadir untuk memantau perjalanan majlis tandatangan itu. 


Tiada ulasan: