Jumaat, 4 Mac 2016

PAC minta rakyat yakin laporan 1MDB

SINAR HARIAN


Hasan Arifin
Hasan


KUALA LUMPUR - Rakyat tidak perlu bimbang dan harus yakin dengan syor serta rumusan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata, ini kerana laporan berkenaan dibuat oleh anggota PAC yang terdiri daripada parti Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Hasan berkata PAC akan meneliti laporan akhir berkenaan berserta dengan 10 prosiding terdahulu bagi melengkapkan laporan jawatankuasa sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

"PAC berharap laporan berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB ini akan dapat dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini," katanya.

Hari ini, PAC mendengar pembentangan Laporan Akhir Terhadap Pengauditan 1MDB oleh Ketua Audit Negara di bangunan Parlimen yang dijadualkan semula pada hari ini dan Isnin (7 Mac) selepas ditangguhkan pada 24 dan 25 Februari lepas.

Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan bermula Isnin ini dengan majlis perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Dalam pada itu, Hasan berkata PAC akur serta memahami keperluan dan tindakan Jabatan Audit Negara  bagi mengklasifikasikan laporan akhir itu sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Ketua Audit Negara mempunyai kuasa perundangan untuk berbuat demikian bagi menjaga kredibiliti dan integriti jabatan itu," katanya.

Katanya keputusan Jabatan Audit Negara  dilakukan berikutan ada maklumat dalam Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB yang dibentangkan kepada PAC pada Julai lalu, dibocorkan sehingga menjejaskan kredibiliti Jabatan Audit Negara  dan PAC sendiri.

"Sebagai sebuah jawatankuasa ditubuhkan di bawah Parlimen Malaysia, adalah menjadi keperluan untuk wujudnya pematuhan dan akauntabiliti serta menghormati peruntukan undang-undang yang turut digubal institusi yang sama," katanya.

Katanya, selepas Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB itu dibentangkan ke Dewan Rakyat, terpulang kepada Ketua Audit Negara sama ada perlu untuk membatalkan arahan dokumen rahsia rasmi ke atas Laporan Ketua Audit Negara Terhadap pengauditan 1MDB itu. - Bernama

Tiada ulasan: