Khamis, 3 Mac 2016

Muhyiddin tak boleh cabar UMNO gantung jawatannya

 
Perlembagaan UMNO dan RoS telah menetapkan sebarang keputusan yang dibuat oleh sesebuah parti tidak boleh dicabar di mahkamah.


muhyiddin,ros


PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh mencabar keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mengikut Perlembagaan parti dan peraturan yang ditetapkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) jelas menyatakan sebarang keputusan parti tidak boleh dicabar termasuk di mahkamah.

“Mengikut Seksyen 18(C) Akta Pertubuhan 1966, pertikaian atau keputusan parti tidak boleh dicabar di mahkamah. Manakala Seksyen 16 akta sama berkenaan pertikaian sesama ahli atau di kalangan ahli.

“Ia tidak terangkum dalam kes penggantungan jawatan Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa beliau akan menghantar surat kepada RoS bagi mendapat penjelasan sama ada penggantungan tersebut mengikut prosedur dan undang-undang UMNO.

Tengku Adnan berkata, penggantungan Muhyiddin dibuat mengikut Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO menggunakan ‘residual power’ MT demi perjalanan parti.

“Ia berbeza dengan Fasal 9.12 berkenaan ‘perlucutan jawatan’ mana-mana ahli MT UMNO,” katanya sambil menambah, Muhyiddin sepatutnya menggunakan saluran dalaman parti bagi menyelesaikan pertikaian itu,

“Majlis Tertinggi UMNO merupakan badan keputusan tertinggi di dalam ketiadaan Perhimpunan Agung Tahunan. Apa jua keputusan MT akan dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung bila tiba masanya,” katanya.

Tiada ulasan: