KALAU kita mendalami peristiwa
“serang hendap” wartawan Badan Penyiaran Australia (ABC) terhadap Perdana
Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib
Abdul Razak, pada 12 Mac lalu di Kuching dan tahu latar belakangnya, kita tidak
akan terperanjat.
Wartawan Linton Besser dengan
lantang bertanya mengenai dakwaan duit ratusan juta dolar dalam akaun peribadi
Perdana Menteri. [Boleh tonton di sini.]
Sebenarnya itulah cara yang
masih ada bagi wartawan mendapatkan maklumat terus daripada Mohd Najib,
melainkan wartawan itu daripada media arus perdana (MAP) tempatan.
Itu pun, dalam temu ramah khas
yang diatur lebih awal penemu ramah diberi taklimat apa yang haram, wajib,
sunat dan makruh ditanya. Soalan perlu dikemukakan lebih awal.
Temu ramah televisyen pula akan
dirakam dan disunting sebelum disiarkan. Kalau ada isu yang sensitif, yang
dijemput melakukan temu ramah bukan wartawan tetapi profesional bidang
berkenaan. Terketar-ketar si penemu ramah bertanya soalan pra-rancang.
Ahli ekonomi Charon Mokhzani temu ramah Najib |
Dulu, pada zaman yang disifatkan oleh media propaganda Mohd Najib sebagai tidak bebas dan autokratik, khususnya era Tun Dr Mahathir Mohamad, wartawan bebas tanya soalan. Sidang akhbar menjadi darah daging media massa.
Habis sangat soalan tak dilayan
atau wartawan kena herdik. Saya pernah diherdik di hadapan khalayak di Lapangan
Terbang Antarabangsa Subang pada tahun 1981 oleh Allahyarham Tan Sri Muhammad
Ghazali Shafie aka King Ghaz kerana dituduh “menyerang hendap” beliau - lebih
kurang macam krew ABC lakukan terhadap Mohd Najib.
Lepas itu dengan Pengerusi
Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Allahyarham Tun Ismail Mohammad Ali, juga pada
tahun 1981.
Alhamdulillah, akibat daripada
peristiwa itu kedua-dua mereka menjadi kawan baik saya hingga ke hujung usia
mereka. King Ghaz mengajar saya mengenai politik, perang saraf dan diplomasi.
Ismail mengajar saya ketelusan dan amanah, perbankan dan pelaburan.
Najib Elak Wartawan
Sekarang tidak ada cara lain “menemu ramah” Mohd Najib selain menyerang hendap. Ketakutan telah menyebabkan beliau mengelak bersemuka dengan wartawan.
Menurut beberapa orang pengarang
MAP, Mohd Najib sudah lama tidak mengadakan sidang akhbar. Ada tidak pun ketika
lawatan rasmi ke luar negara. Itu pun hanya dengan para pengarang yang mengiringi beliau.
Untuk pengesahan, saya
menghantar pesanan ringkas berikut kepada salah seorang setiausaha akhbar
beliau: “Assalamualaikum. Apoplogies. Needs official confirmation. MSM editors
told me, PM has not been holding PC or talk to reporters on the sideline. For
my blog. Tq. A Kadir Jasin.”
(Assalamualaikum. Mohon maaf.
Perlu pengesahan rasmi. Pengarang MAP memberitahu saya, PM tidak lagi
mengadakan sidang akhbar atau bercakap kepada wartawan selepas majlis. Untuk
blog saya. Tk. A Kadir Jasin.)
Tidak ada jawapan daripada
beliau.
Mohd
Najib dan pengawas media
beliau takut kalau-kalau ada wartawan yang berani bertanya soalan
menakutkan berkenaan skandal 1MDB, RM42 juta wang SRC International Sdn
Bhd dan RM2.6 bilion dalam
akaun peribadi beliau.
Kemungkinan hal itu berlaku amat
kecil kerana pengarang MAP sudah pun diberi taklimat mengenai apa yang boleh
dan tidak boleh ditanya. Manakala wartawan MAP pula tahu
kalau mereka bertanya soalan sensitif mereka pasti akan dikenakan tindakan dan
laporan mereka tidak akan disiarkan.
Kisah Zaman Dulu
Teringat saya kepada saat-saat
terakhir Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera sebagai Perdana Menteri pada tahun
1969/70.
Walaupun menghadapi kempen dari
dalam dan luar Umno untuk memaksa beliau meletakkan jawatan, Tunku tidak pula
menyisihkan diri daripada wartawan.
Sebaliknya wartawan yang
menyisihkan diri daripada beliau. Kalau sebelum itu sidang akhbar dan lawatan
beliau dilaporkan oleh pengarang dan wartawan kanan, apabila kempen menjatuhkan
beliau terjadi, pengarang dan wartawan kanan diarahkan agar tidak lagi memberikan
beliau keutamaan.
Walaupun dipulau Tunku tidak lari dari wartawan |
Sebaliknya prioriti liputan diberikan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Gerakan Negara (NOC).
Tetapi Tunku tetap Tunku. Sama
ada kepada pengarang dan wartawan kanan atau pemberita kadet beliau memberi
layanan yang serupa – mesra, tanpa kasta dan penuh lawak jenaka.
Waktu itu saya pemberita kadet
di Bernama dan banyak membuat liputan kegiatan beliau di Kuala Lumpur, Kedah dan
Pulau Pinang. Kemanusiaan dan rendah diri Tunku tidak ada tolok bandingnya.
Moga-moga rohnya diberkati.
Kesimpulannya, kalau mahukan
komen terus daripada Mohd Najib kenalah jadi warga MAP atau lakukan serang
hendap terhadap beliau macam yang dilakukan oleh wartawan ABC.
Berkenaan respons lisan dan
fizikal PDRM terhadap serang hendap ABC itu, saya serahkan kepada para pembahas
dan pembaca mengadilinya. Hanya perlu tonton video YouTube yang saya pautkan. Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan