Rabu, 2 Mac 2016

Minta Najib buka mulutnya luas-luas ...



Oleh Aspan Alias
 
 
Mungkin kah Tun Mahathir akan sama keadaannya dengan Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn? Maksud saya Tun Mahathir jika ditakdirkan meninggal dunia beliau tidak berada dalam UMNO seperti kedua-dua bekas Perdana Menteri itu. Kalau begitu hanya Abdullah Badawi sahaja yang akan meninggal berada dalam UMNO, dan Tun Razak meninggal semasa beliau masih dalam UMNO dan masih dalam jawatan Perdana Menteri.

Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn tidak mati dalam UMNO kerana mereka tidak bersetuju dengan penubuhan UMNO Baru ini. Kepada Tunku dan Hussein penubuhan UMNO baru sememangnya dirancang dengan membunuh UMNO lama itu. Tun Mahathir pula meninggalkan UMNO kerana tidak bersetuju dengan Perdana Menteri Najib Razak kerana beliau berpendapat UMNO itu sekarang bukan lagi UMNO dan ianya hanyalah parti ‘Najib’ dan segala identiti UMNO itu sudah hilang dipandang mata. Sifat dan rupa bentuk UMNO itu sudah hilang samasekali dan tidak berguna lagi untuk berada dalam parti itu.
UMNO sekarang terlalu sarat dengan penyalahgunaan kuasa oleh pucuk pimpinannya dan juga setiap peringkat kepimpinannya. Malah pemimpin UMNO sekarang sedang ketagih dengan rasuah dan salah guna kuasa. Jika tidak makan rasuah seolah-olah nya ia bukan lagi pemimpin UMNO. Pendeknya UMNO dan rasuah itu ibarat aur dengan tebing, saling menyandar di antara satu dengan lain. Rasuah tidak akan berkembang tanpa UMNO dan UMNO tidak akan berjaya tanpa rasuah dan salah guna kuasa.
UMNO itu merupakan parti yang rendah moral pemimpinnya. Tidak seperti dahulu kala. Pelajaran tinggi tidak berjaya menjadikan seseorang pemimpin UMNO itu berfikir secara baik dan sentiasa memilih kerja ‘cari duit luar’ yang banyak sebagai perjuangan utama mereka. Kos untuk menanggung pemimpin hari ini amat tinggi dan yang menjadi mangsa adalah perbendaharaan negara. Dulu kita  menganggapkan apabila seseorang itu mempunyai pelajaran yang tinggi mereka akan tahu untuk membuat penilaian kepada diri masing-masing. Tetapi sebaliknya mereka yang belajar tinggi pun akan menjadi bodoh bila menyertai UMNO.
Satu lagi ‘attribute’ yang buruk dalam UMNO itu ialah sifat kurang ajar pemimpin-pemimpin UMNO yang begitu sombong bila bercakap. Bila berbahas kerana perbezaan kuasa pemimpinnya bercakap tanpa ‘decorum’ yang baik.Bukan sedikit di antara pemimpin yang seperti Nazri Aziz dan pemimpin inilah yang diharapkan untuk menyelamatkan bangsa dan agama kita.
Jika benar niat Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib yang paling ‘controversial’ dalam dunia sekarang ini ia patut disokong ramai. Najib pun bukan lagi melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri, di sebaliknya beliau berpusing merata-rata dunia untuk menyelesaikan masalah yang beliau tidak dapat sorokkan lagi. Najib telah berbohong hingga ke Parlimen dan satu pun percakapan beliau tidak dapat dipercayai. Tiada apa lagi yang kita boleh harap dan minta dari Najib sekarang ini. Jika ada pun permintaan ramai sekarang ialah untuk Najib membuka mulutnya luas-luas kerana orang ramai nak tengok apakah jenis lidah yang ada di dalam mulut beliau itu.
Semoga Tun Mahathir berjaya dalam usaha membersihkan kerajaan yang ada pada hari ini.

Tiada ulasan: