Rabu, 9 Mac 2016

Mana duit 5 sen saya?

 
Wujud trend di mana wang berbaki 5 sen digantikan dengan sebiji gula-gula. Apakah saya patut menerimanya sahaja atau bersuara demi hak saya sebagai pengguna? Anda bagaimana?
 
 
 
5-sen


Pagi tadi sebelum ke kerja, dalam perjalanan ke sekolah anak saya, saya berhenti sebentar di kedai serbaneka untuk membeli roti, bekalan sekolah anak. Dua roti ban, air teh bunga dan surat khabar, jumlahnya, RM4.63, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan dibundarkan menjadi RM4.65 sen.

Duit baki yang saya terima daripada juruwang kedai serbaneka itu ialah RM0.30 dan sebiji gula-gula kecil.
Dalam situasi ini, apakah yang sepatutnya saya lakukan?

Pulang sahaja mengambil wang 30 sen dan gula-gula tanpa berkata-kata atau salahkah jika saya tetap menuntut 5 sen yang sepatutnya dipulangkan itu?

Akhir-akhir ini, perkara ini sangat kerap berlaku. Kalau ia berlaku kepada saya seorang, mungkin ia kes terpencil, saya pun tak kisah sangat. Tetapi kebetulan apabila berkongsi pengalaman ini dengan rakan-rakan, rupanya trend 5 sen ganti gula-gula, sudah menular dan dirasai segelintir besar rakan-rakan yang saya hubungi.

Ia dikatakan lebih ketara berlaku sejak pelaksanaan GST, mungkin selepas harga barang dibundarkan dengan GST menyebabkan harga berakhir dengan nilai 1, 2, 3 4, 6, 7, 8 dan 9 sen.

Pada kebanyakan masa, itulah harga yang perlu dibayar bukan? RM1.66, RM4.88, RM7.12…

Lebih menjengkelkan apabila juruwang atau pekedai yang bertindak menggantikan 5 sen dengan gula-gula berkelakuan ia seperti ia perkara biasa dan kita pula yang bersalah dan dipandang murah kerana menuntut kembali duit 5 sen itu.

Lima sen pun, tetap duit juga dan sekali hilang 5 sen, 10 kali sudah berapa?

“Saya tanya, kenapa selalu sangat tak pulang baki lima sen, juruwang itu tengking saya pula. Dahlah dia pekerja warga asing, saya minta duit saya, dan saya pula kena marah,” kata seorang rakan sekerja yang turut berkongsi pengalamannya di sebuah restoran dekat pejabat kami di Damansara.

Nampaknya, isu ini memang isu konsumer tetapi mungkin kerana nilainya hanya 5 sen, tidak diperbesarkan, atau tidak mahu diperbesarkan.

Namun, saya faham bahawa saya tidak boleh ‘jump the gun’. Mendekati jurujual ini, mereka akui berbuat demikian sama ada kerana tiada bekalan 5 sen atau kerana mahu memudahkan urusan.

“Saya takde 5 sen kakak. Stok sudah habis. Kalau kena marah, saya pulangkan 10 sen sahaja,” kata seorang pekerja restoran yang menjaga mesin kaunter. Katanya kerana itu mereka dinasihatkan pulangkan sebiji gula-gula oleh majikan.

Bagaimanapun sebagai pengguna, saya tetap mahukan 5 sen saya dan saya harap trend ini tidak terus menjadi-jadi. Kalau hari ini mereka ganti sebiji gula-gula dengan 5 sen, mungkin mereka akan lakukan perkara yang sama dengan 10 atau 20 sen.

Satu lagi, saya juga tidak menyalahkan GST, cuma berharap ada satu kaedah yang lebih efektif supaya kami pengguna, yang dibebani dengan cukai tidak dipaksa pula dengan makan gula-gula menggantikan 5 sen.

Apakah kita sedang bergerak mundur ke belakang mengguna pakai sistem barter dalam urus niaga???

Tiada ulasan: