Sabtu, 12 Mac 2016

Halang pendebat di universiti satu penganiayaan, kata Fahmi

Fahmi FadzilFahmi FadzilTindakan menghalang jaguh debat Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada menghadiri program di beberapa universiti amat mendukacitakan.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, berkata universiti sepatutnya menjadi medan pertembungan dan persaingan idea, bukannya tempat menyimpan katak di bawah tempurung.

“Malangnya sikap pentadbir universiti sekarang menganiaya pelajar mereka sendiri seolah menafikan wujudnya kepelbagaian idea dan suara dalam masyarakat hari ini.

“Sikap pentadbir seperti yang kita lihat ini hanya menghalang pendewasaan minda anak muda,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Saddiq yang turut menandatangani Deklarasi Rakyat menggesa perletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak, dilarang berucap di tiga universiti awam tempatan.

Universiti terbabit adalah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Fahmi berkata, tindakan itu terlalu biasa digunakan untuk menghalang suara mereka yang dianggap musuh kerajaan dari memasuki institusi pengajian tinggi.

“Saya menggesa halangan ini dihentikan dan semua yang dihalang sebelum ini wajib dibenarkan masuk menyertai program di mana-mana universiti sekalipun.

“Tanpa perbezaan pendapat yang lahir dari wacana dinamik dan sihat, Malaysia tidak mampu melahirkan bangsa yang benar-benar berdikari pada masa hadapan,” katanya.
 

Tiada ulasan: