Isnin, 7 Mac 2016

Laporan 1MDB dokumen rahsia sehingga dibentang

SINAR HARIAN


1MDB
1Malaysia Development Berhad


KUALA LUMPUR - Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak lagi menjadi dokumen rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan Laporan Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB di Parlimen.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin berkata perkara itu dijelaskan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada mesyuarat PAC hari ini.

"Laporan Pengauditan 1MDB hanya diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi sehingga PAC
membentangkan Laporan Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB di Parlimen," kata Hasan dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Penjelasan itu dibuat berikutan berlaku kekeliruan berhubung status Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas pembentangan oleh Ketua Audit Negara kepada PAC, pada Jumaat lalu.

Pada mesyuarat itu, PAC menyifatkan Ketua Audit Negara berhak dan mempunyai kuasa perundangan untuk mengklasifikasikan laporan akhir itu sebagai dokumen rahsia bagi mengelakkan ia dibocorkan kepada pihak tidak bertanggungjawab sehingga memberikan perspektif negatif terhadap Jabatan Audit Negara dan PAC.

Hasan turut menjelaskan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB oleh PAC adalah berbeza dengan Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan ke Parlimen setiap tahun sebelum ia menjadi dokumen awam.

Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dibentangkan kepada PAC selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 5 Mac tahun lalu yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan terhadap 1MDB. - Bernama


Tiada ulasan: