Jumaat, 4 Mac 2016

KETEPIKAN CERITA2 LAMA, BEBAN SEMASA NEGARA IALAH NAJIB

shahbudindotcom


Sesuatu yang harus disedari oleh semua pihak mengenai kemelut dalam negara sekarang ialah segala-galanya berpunca daripada hanya seorang manusia iaitu Najib Razak saja.

Negara rosak binasa, nama Malaysia dipandang hina di peringkat antarabangsa, rakyat sengsara dan UMNO semakin menuju ke pusara, tidak lain hanyalah berpunca daripada imej Perdana Menteri yang sudah dianggap tidak merosakkan segala-galanya.

Berbagai-bagai isu yang muncul satu persatu, kelemahan dalam mengurus negara, perlaksanaan undang-undang yang mengelirukan dan jentera awam dimusnahkan berikutan skandal kewangan yang secara langsung dan tidak langsung melibatkan dirinya, sebenarnya merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Di ketika era Tun Mahathir misalnya, meskipun banyak isu yang berlaku, namun ia hanyalah berkaitan politik dan kepimpinan, tetapi sekarang ini yang dipertahankan merupakan hal-hal peribadi Najib semata-mata.

1MDB berkaitan dirinya, wang RM2,600 juta (dakwaan terbaru WSJ mendakwa sebenarnya RM4,200 juta) berkaitan dirinya, dana RM42 juga daripada SRC International berkaitan dirinya, Peguam Negara dipecat kerana dirinya, pegawai SPRM diganggu kerana dirinya dan segala-galanya adalah berkaitan beliau belaka.

Oleh itu, dengan kedudukan negara yang begitu buruk, sedianya Tun Mahathir menjalin kerjasama dengan parti-parti pembangkang, khususnya setelah perkara itu disambut dengan jiwa besar oleh Anwar Ibrahim sendiri, ia seharusnya diterima dengan lapang dada oleh kita semua.

Ia hakikatnya menggambarkan kedua-duanya, Anwar dan Tun Mahathir sedia melupakan persengketaan politik mereka untuk menyelamatkan negara ini.

Tidak perlu diungkit-ungkit lagi cerita-cerita semalam berkaitan Tun Mahathir atau Anwar di ketika ini. Perkara pokok yang ada di depan mata ialah Najib yang lebih merosakkan negara, bukannya cerita-cerita semalam.

Mengungkit dan membesar-besarkan cerita lama, sesetengahnya pula entah sahih, entahkan tidak, seolah-olah bermakna kira reda dengan segala kerosakan yang ada ini berterusan sampai bila-bila.

Tun Mahathir mungkin ada kesilapan masa lalunya ketika menjadi Perdana Menteri dahulu, tetapi sekarang beliau sedang menebus segala kesilapan itu untuk kebaikan kita bersama.

Berkaitan Anwar pula, biarlah apa yang berlaku dulu hanya menjadi rahsia Tuhan untuk menentukan siapa benar dan siapa yang salah. Lagi pun, begitu banyak  elemen meragukan semasa perbicaraan yang telah menjadi tatapan seluruh dunia.

Ia bukanlah soal Anwar melakukan dosa tersebut atau sebaliknya, tetapi lebih berkaitan prinsip keadilan. Bukanlah asing kita mendengar begitu banyak tertuduh atas kesalahan membunuh sekali pun yang terlepas daripada hukuman kerana prinsip keadilan yang berjaya diperjuangkan.

Itulah undang-undang dan keadilan jika kita memahaminya. Tetapi ia tentunya berbeza dengan pelbagai isu yang membeliti Najib yang nyata melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Dalam pada itu, jasa Anwar dalam mewujudkan gabungan pembangkang yang kuat di negara ini haruslah juga jangan dilupakan. Disebabkan kesediaannya berkorbanlah berlakunya sistem semak yang seimbang yang kukuh sekarang, sedangkan jika Anwar berjiwa "cash is king"  atau "jenis pemakan dedak" dan tidak mengambil kita masa depan negara, sudah tentu senang lenang kehidupannya sekeluarga ketika ini.

Yang penting ialah sokongan dan pengaruh yang dicurahkannya kepada apa yang digerakkan oleh Tun Mahathir untuk menyingkirkan Najib. Ingatlah Anwar kini dalam penjara dan sama ada beliau akan menjadi Perdana Menteri atau tidak suatu hari nanti, biarlah masa yang menentukannya.

Namun, yang jauh lebih penting ialah apabila Najib dapat disingkirkan, peluang untuk memulihkan negara ini lebih ternampak jalannya. Sudah tentu apabila Najib disingkirkan, sebuah kerajaan campuran yang baru akan diwujudkan yang merangkumi kumpulan tertentu dalam UMNO dan juga parti-parti pembangkang yang hari ini saling bekerjasama dengan Tun Mahathir.

Tidak mungkin apabila Najib dapat ditumbangkan, wakil-wakil pembangkang ini akan diketepikan begitu saja. Mereka tentunya akan terus mempunyai peranan dalam memulihkan pelbagai kerosakan sistem dan institusi yang diakibatkan oleh Najib.

Kerjasama dan persefahaman ini juga, jika tidak berjaya menumbangkan Najib dalam waktu terdekat, ia turut menjadi pilihan selepas keputusan PRU 14 nanti. Gerakan dan jelajah Tun Mahathir mulai sekarang sehingga pilihanraya akan datang tentunya akan menyebabkan UMNO kehilangan banyak kerusi dan memberi kelebihan kepada parti-parti pembangkang  bersama kumpulan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan majoriti membentuk kerajaan.

Dilihat dari sudut mana pun, gerakan Tun Mahathir bersama parti-parti pembangkang ini akhirnya akan menjadikan Najib semakin tiada potensi untuk diundi rakyat. 

Cuma, bilakah kita mahu negara ini dipulihkan?

Jika mahu cepat, segeralah kita semua bangkit menolak Najib mulai sekarang dan jika boleh bertahan setahun dua lagi, tunggulah tarikh mengundi PRU 14 diumumkan.


Tiada ulasan: