Khamis, 10 Mac 2016

Jangan hingga lupa‘matahari naik turun’ di mana




Oleh ZULKIFLI JALIL


ORANG UMNO terutama orang Melayu tidak sepatutnya terbawa-bawa sehingga gagal melihat gambaran menyeluruh kesan pakatan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan pembangkang yang sebenarnya menguntungkan DAP.

Mereka jangan hanyut dengan ‘jalan cerita’ sebaliknya mampu ‘membaca’ dua tiga lapis insiden itu di sebalik tabir.

Seorang ketua penerangan atau mungkin juga ketua bahagian barangkali menerima mesej WhatsApp daripada ahli yang menghentam atau bergaduh semasa sendiri disebabkan ‘deklarasi atau kesepakatan’ itu baru-baru ini.

Mereka kemudian menyebar atau berkongsi mesej itu sehingga akhirnya parti sendiri terjebak dalam perangkap `mental block’ yang tidak menemukan jalan keluar.

Sedangkan cabaran sebenar dihadapi UMNO bukanlah Pas, PKR, waima Dr. Mahathir mahupun bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi DAP yang meraih laba politiknya.

Akibat ini, mungkinkah DAP sedang menunggu untuk melihat perpecahan Melayu?

Tindak-tanduk Dr. Mahathir yang ‘merunsingkan’ UMNO bukanlah baharu. Ini permainan politik terbaharu Dr. Mahathir yang tetap merupakan `real’ mastermindnya. Muhyiddin pula cuma pelakon jemputan dan bukanlah `real person’ yang menyusun atur kesepakatan dengan pembangkang.

Kemunculan pemimpin pembangkang termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta yang lain bersama Dr. Mahathir pun ada objektif mereka tersendiri.

Orang UMNO jangan pandang remeh. Dr. Mahathir biasanya bila beri reaksi kepada sesuatu, beliau sudah berfikir tiga atau empat kali ke depan. Beliau tahu hujung jatuhnya (seseorang yang diserangnya) bagaimana.

Bukan sahaja orang UMNO, bahagian penerangan parti juga wajib keluar dari kepompong lama dan keluar buat kerja `assessment’ (penilaian). Jangan kerana kita kerajaan, kita fikir benda ini mudah.

Ketua Penerangan UMNO yang baru sebulan masuk pejabatnya, Tan Sri Annuar Musa sendiri mengakui kepada penulis semalam yang petunjuk prestasi utama (KPI) operasi penerangan yang ditinggalkan kepadanya di tingkat 38 Menara Dato’ Onn dalam keadaan ‘daif’.

“Kita jauh ketinggalan dengan orang yang nak cabar kita,” katanya ringkas.

Menghadapi insiden ‘kesepakatan’ Dr. Mahathir dengan pembangkang umpama kita menonton wayang. Mungkin kita sampai menitis air mata kerana amat teruja dengan jalan cerita sehingga terlupa kita berada dalam panggung.

Ada sesetengah penonton pula menyerahkan jiwa raganya kepada si hero dan terus ‘hanyut’. Ada pula yang seronok tetapi mencari pengajarannya. Dia tahu siapa pengarahnya, pelakon utama serta pelakon tambahan.

Jangan keterlaluan bersengketa sesama sendiri kerana isu ‘deklarasi’.

Orang muda mungkin tidak berapa suka kita ‘menyerang’ Dr. Mahathir dalam bentuk yang kasar.

Ini kerana wajah Dr. Mahathir sudah dibina negara sebagai ikon sedangkan kita terlupa sasaran utama adalah DAP.

Jangan sehingga akhirnya kita orang UMNO tidak tahu matahari naik turun di mana. - utusan.com.my

Tiada ulasan: