Selasa, 29 Mac 2016

Isu Uber, GrabCar: Pemandu teksi tak wajar mogok

SINAR HARIAN


Isu Uber, GrabCar: Pemandu teksi tak wajar mogok
Gambar himpunan pemandu teksi di Bukit Bintang yang tersebar di media sosial, hari ini.


KUALA LUMPUR - Pemandu teksi tidak sepatutnya membuat kesimpulan sendiri bahawa kerajaan telah meluluskan perkhidmatan Uber dan GrabCar seterusnya melakukan mogok berhubung perkara itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Beliau berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad berhubung perkhidmatan Uber dan GrabCar.

"Pemandu teksi tidak wajar membuat mogok di tempat umum kerana kerajaan belum membuat sebarang keputusan dan sudah pasti kita (kerajaan) akan berbincang dengan persatuan teksi sebelum membuat keputusan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu teksi mogok, KL sesak]

"Pemandu teksi tidak tahu apa kaedah yang dibuat kerajaan, jadi mereka tidak boleh membuat konklusi," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan sekumpulan pemandu teksi yang melakukan mogok berhampiran Pavilion, Bukit Bintang, di sini hari ini kerana membantah Uber dan GrabCar yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Abdul Aziz berkata beliau telah berjumpa dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan meminta suruhanjaya itu menjelaskan kepada semua pemilik teksi mengenai transformasi teksi yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan. - Bernama


Tiada ulasan: