Sabtu, 19 Mac 2016

Hudud memang boleh dilaksanakan di Malaysia

 
Pelaksanaan hudud yang tertangguh sejak sekian lama di negara ini adalah ujian daripada Allah SWT untuk umat Islam melaksanakan perintahNya.
 
 
 
pas_hudud_600


Sekali lagi hudud menjadi tajuk utama arena politik tanah air susulan pengumuman penubuhan blok ketiga pembangkang iaitu PAS-IKATAN.

Sana sini penagih politik tegar memperkatakan perkara itu, termasuk mempersoalkan pendirian PAS, malah ada memperlekehkan hudud. Sakit hati kita apabila hudud dipermainkan.

Hudud jelas dinyatakan menerusi firman Allah SWT dalam Al-Quran dan juga hadis dan pada kita ia adalah satu tuntutan melaksanakannya menerusi undang-undang.

Bagaimanapun, untuk menjadikan hukum hudud sebagai sebahagian daripada undang-undang negara adalah cabaran yang cukup besar dan berat.

Benar kata Rasulullah SAW dan ulama terdahulu. Bukan mudah melaksanakan perintah Allah SWT dan kita sebagai umat Islam sememangnya akan diuji dalam melaksanakan perintahNya.

Kita yakin, pelaksanaan hudud yang tertangguh sejak sekian lama di negara ini adalah ujian daripada Allah SWT untuk umat Islam.

Berdasarkan sejarah, hudud sememangnya antara kaedah perundangan dan keadilan dalam adat Melayu seperti yang termaktub dalam Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Kanun 99 Perak, Undang-undang Kedah dan pelbagai lagi undang-undang di negeri Melayu.

Apabila British campur tangan dalam pentadbiran negeri Melayu pada abad ke-19, undang-undang yang berasaskan English Common Law diperkenalkan dan dijadikan ‘kitab’ sistem keadilan di negeri Melayu.

Sistem perundangan diperkenalkan British itu terus digunapakai sehingga tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian membentuk Malaysia apabila Tanah Melayu bergabung dengan Sarawak dan Sabah.

Pada kita, hukum hudud ini boleh dilaksanakan di Malaysia kerana faktor sejarah, adat resam Melayu sejak ratusan tahun lalu dan faktor penduduk yang majoritinya Muslim.

Halangan timbul kerana ketidakfahaman orang ramai terutama yang bukan Islam berhubung pelaksanaan dan objektifnya. Lebih malang, hudud ini dikaitkan dengan undang-undang yang digunakan pengganas seperti Kumpulan Militan Negara Islam (Daesh).

Tugas umat Islam, terutama PAS ketika ini ialah mempergiatkan kempen menerangkan hukum hudud dan cara pelaksanaannya kepada seluruh rakyat terutama orang bukan Islam.

Hudud perlu diterangkan sebagai bukan undang-undang potong tangan kaki semata-mata, tetapi undang-undang untuk memupuk kasih sayang dan pada masa sama mencegah jenayah dengan berkesan.

Inilah ujian untuk PAS daripada Allah SWT dalam usaha untuk melaksanakan hudud selain perlu mengatasi masalah perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan. Pada hemat kita, ujian ini perlu dilalui dengan sabar, cermat dan teliti.

Khalifah Ali Abi Talib pun pernah cakap, segala perbuatan hendaklah mempunyai rancangan yang bersistem jika mahu ianya berjaya dan perkara ini termasuklah pelaksanaan hukum Allah SWT seperti hudud.

Tidak boleh main ‘langgar’ dan wajib bersistem. Jika sabar dengan istiqamah, hukum hudud dilaksanakan di Malaysia kelak. Berilah penerangan secukupnya kepada orang ramai dan pastikan orang ramai termasuk orang bukan Islam ‘masak’ dengan apa sebenarnya hudud ini.

Lagi pun, ini juga sebahagian daripada dakwah, iaitu menerangkan dan menyebar luas firman Allah SWT kepada sekalian manusia.Wallahualam….

Tiada ulasan: