shahbudindotcom
Berkata-katalah
Presiden Pas, Hadi Awang yang sekarang sudah pandai memakai baju
berwarna merah jambu, bukan lagi hijau seperti zaman dulu-dulu bahawa
Islam tidak menggalakkan memecat pemimpin, sebaliknya hanya perlu
membetulkan mereka.
"Budaya pecat pemimpin tidak digalak dalam Islam. Islam tak galak pecat pemimpin, perbetul boleh.
"Kita kena sabar memperbetulkan pemimpin," katanya ketika berucap di Parlimen.
Ehh...ehh...cantiknya
kenyataan ini dan jika ada markah yang patut diberikan, sudah tentu
boleh diberi lima bintang tanda "cemerlangnya" Hadi kebelakangan ini.
Dalam masa yang sama, sudah tentu yang paling gembira mendengar kenyataan Hadi itu ialah Najib Razak sendiri.
Makna
kenyataan itu sangat jelas bahawa Pas tidak akan setuju dengan sebarang
usaha untuk menyingkirkan Najib, malah akan terus bersabar dengan
segala macam karenah dan onar dalam kepimpinan Perdana Menteri yang
bukan lagi rahsia kepada seluruh dunia.
Tetapi,
ingin juga ditanya kepada Hadi Awang, tidakkah beliau lupa bahawa Najib
jugalah yang mengetuai gerakan "memecat" Menteri Besar Perak dari Pas,
Nizar Jamaluddin pada tahun 2009 dahulu?
Jika
benar Islam tidak menggalakkan pemecatan pemimpin, bagaimana sekarang
beliau boleh berkawan rapat dengan "ketua gerakan pecat-memecat" itu?
Lebih
dari itu, dalam UMNO sendiri Najib juga sudah melakukan banyak
pemecatan dan penyingkiran bagi tujuan mengekalkan kuasanya.
Tidakkah Hadi terasa "geli" ketika berbaik-baik, duduk-duduk berdekatan atau semasa ketawa-ketawa bersama Najib?
Selain
itu, kiranya benar Pas mengamalkan pendekatan membetulkan pemimpin atau
dalam kata lain hanya memberi teguran, ingin juga ditanya, sudah berapa
kali beliau cuba "memperbetulkan" Najib berhubung isu 1MDB dan wang
berbilion-bilion yang diakui Perdana Menteri sendiri masuk ke akaun
peribadinya?
Atau apa yang berlaku Najib yang
sekarang sudah bergelar "bilionwan" itu yang sebenarnya sudah berjaya
"memperbetulkan" Hadi Awang untuk condong kepadanya?
Satu perkara lagi sebelum terlupa dan kiranya Hadi Awang tidak lagi mengingatinya, bagaimana dengan Pas sendiri yang pernah memecat Dr Hasan Ali sebelum ini?
Kenapa dipecat? Kenapa tidak sekadar ditegur atau bersabar saja dengan karenah-karenah yang ditimbulkan oleh Dr Hasan Ali?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan