Isnin, 21 Mac 2016

Dua anak Pekan yang berbeza



 
Oleh SUBKY LATIF


DALAM seminggu dua ini negara dikecohkan oleh dua anak bangsawan Pekan yang dilihat saling berbeza wataknya.
   
Watak yang pertama Tengku Abdullah, Tengku Mahkota Pahang. Watak yang kedua pula adalah Datuk Shahbandar Pahang, Datuk Seri Najib Tun Razak. Datuk Shahbandar adalah seorang yang amat penting dalam kedudukan bangsawan di negeri Pahang.

Dalam pemerintahan Raja Mutlak dulu, selepas Sultan sebagai pentadbir dan pemerintah, Datuk Shahbandar adalah terpenting selapas raja bertakhta.
  
Dalam kekecohan seminggu dua ini Tengku Mahkota hendak meletak jawatan daripada Presiden Persatuan Bola Malaysia yang disandangnya sejak beberapa ketika. Hasratnya melepaskan jawatan berlaku secara  tiba-tiba.
   
Tidak diduga. Tiba-tiba baginda merasa bertanggungjawab atas kekalahan Malaysia 10 – 0 dengan pasukan bola negara teluk. Kekalahan yang amat memalukan. Maka sebagai ketua persatuan bola yang bertanggungjawab mahu menebus kekecewaan itu dengan melepaskan pimpinan persatuan yang dipimpinnya supaya ia boleh dipimpin oleh orang lain.
   
Heboh semua orang. Masing-masing menolak hasrat baginda, memujuknya supaya hasrat itu ditimbang semula. Ia sedang ditimbangkan.
  
Manakala seorang bangsawan Pahang lain juga dari Pekan kecoh di seluruh negara mintanya supaya cukuplah setakat enam tahun jadi Perdana Menteri. Berhenti sajalah!
   
Sudah lama di sana sini orang suka dia berhenti. Ada yang menyatakannya melalui percakapan dan lidah. Tetapi ramai juga bercakap dalam hati.
   
Dr. Mahathir sejak lebih setahun lalu menggesanya berhenti. Berbuih mulut Dr. Mahathir, tiada dihiraukannya. Jika boleh dia hendak di situ lebih lama dari zaman Mahathir dulu.
   
Berbeza dengan bangsawan yang pertama. Tiada siapa suruh berhenti, baginda menawar diri hendak berhenti. Mungkin orang boleh berkelahi kerana tidak mahu baginda berhenti. Baginda menawar turun kerusi.
   
Yang seorang lagi amat berbeza. Berkelahi semua orang menyuruhnya berhenti, dia tidak mahu berhenti. Telinganya tidak seperti telinga orang. Dia tidak dengar apa orang kata padanya dan pada pimpinannya. Kata orang itulah yang dinamakan telinga kuali.
   
Kedua-duanya anak orang Pekan dan kedua-dua pembesar negeri Pahang.
   
Sebab yang bangsawan pertama, cuma satu sebab. Pasukan bola yang baginda jadi Presidennya kalah teruk. Lebih teruk dari Brazil kalah pada Jerman dalam piala dunia dulu. Presiden bukan main pun. Yang main bukan anak raja itu. Orang lain yang main. Kerana pasukannya kalah baginda malu maka cara itu saja dapat menebus malunya.
   
Bangsawan yang kedua. Apa silapnya?
   
Sepatutnya jangan ditanya apa silapnya. Tanyalah apa salahnya? Banyak salahnya dan boleh dikatakan semuanya silap dan semuanya salah. Tetapi baginya dia tidak tahu yang dia salah sekalipun ada yang kata dia salah. Kalau yang kata dia salah dia rasa dia betul juga, apa lagi yang mengata dia betul. Maka disangkanya dia betul juga.
  
Yang pertama tidak tahu orang sayang padanya. Bila hendak berhenti, maka tahulah orang sayang padanya. Masa terbaik berhentilah semasa sebelum orang suruh berhenti. Apabila orang mula suruh berhenti, juga tanda orang sayang. Apabila disuruh bertalu, ia tanda orang tak sayang padanya lagi.
   
Berhenti atau tak berhenti orang sudah tidak sayang lagi. Jangan sampai orang bawa penyapu sampah.


Tiada ulasan: