Jumaat, 4 Mac 2016

Deklarasi Rakyat tiada makna jika tidak ke Parlimen – Haron Din

 
Mursyidul Am PAS percaya suara menolak Najib sebagai Perdana Menteri masih perlu menerusi undi tidak percaya.


haron-din


PETALING JAYA: Datuk Dr Haron Din percaya Deklarasi Rakyat dibentangkan Tun Dr Mahathir Mohamad tiada impak jika tidak dibawa ke Parlimen.

Mursyidul Am PAS berkata, deklarasi itu tidak banyak beza dengan gerakan lain menuntut Perdana Menteri melepaskan jawatan yang pernah dilaksanakan.

“Kesannya tidak banyak berbeza jika kita tiada usaha ke arah melunaskan kepada demokrasi iaitu membawa anggota Parlimen yang boleh bersama bawa undi tidak percaya.

“Ia tidak ubah seperti suara yang kita dengar dalam kempen biasa yang mengajak masyarakat menolak kepemimpinan Najib, sekali gus menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada berkuasa,” ujarnya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Jelas beliau, suara menolak Najib sebagai Perdana Menteri bukanlah perkara baharu, malah percaya isu itu lama kelamaan akan dilupakan.

“Ia akan habis di tengah jalan dengan berlalunya masa. Suara menolak seperti itu bukan benda baharu, selalu kita dengar, tetapi Najib masih di tempatnya.

“Ini satu lagi suara yang mendesak tetapi tidak juga akan sampai ke mana, melainkan menambah desakan yang selalunya berlaku dalam mana-mana sistem demokrasi,” katanya.

Sementara itu, Haron menggesa Najib membuat keputusan berhubung desakan terbaharu itu memandangkan kini banyak desakan mahu beliau meletakkan jawatan.

“Kalau dilihat permasalahan besar dihadapi, terlalu banyak masalah membebani Perdana Menteri, termasuk kredibiliti kerajaan seolah-olah tergugat dan Najib diasak .

“Kita hanya mengharapkan Najib mempertimbangkan dan terpulang kepadanya untuk menyahut dengan mengundur diri. Semakin banyak mendesak, mungkin membawa Najib untuk fikir sendiri dan berundurlah,” katanya.

Tiada ulasan: