Jumaat, 4 Mac 2016

Anwar tetap calon PM – Pakatan Harapan

Oleh Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) teguh dengan pendirian mengekalkan saudara Anwar Ibrahim sebagai calon paling layak menggantikan Perdana Menteri (PM).

“Kita tidak pernah berganjak dari ini. Kita sangat jelas dengan agenda pertama iaitu Datuk Seri Najib Razak mesti undur.

IMG_2445

“Kedua, Umno BN mesti ditumbangkan, ketiga Datuk Seri Anwar mesti dibebaskan dan keempat mesti melaksanakan reformasi dengan cara holistik,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ini susulan kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bahawa Anwar, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali layak menggantikan Najib.

Saifuddin dalam pada itu turut menegaskan Pakatan Harapan tidak mempunyai kaitan dengan sidang media yang akan diadakan Mahathir pada hari ini.

Bagaimanapun, katanya PH tidak menolak untuk berjumpa dan bekerjasama dengan sesiapa sahaja bagi menumbangkan Umno Barisan Nasional dan menyelamatkan Malaysia.

“PH tidak ada apa-apa kaitan dengan apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir esok (4 Mac) tetapi mungkin ada satu atau dua pemimpin dari PH yang akan hadir atas kapasiti sendiri. Itu inisiatif mereka sendiri.

“Dalam kenyataan Majlis Presiden yang lepas, kita bersedia untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja, bekerjasama dengan sesiapa sahaja sama ada parti politik, NGO, individu ataupun kalangan tokoh-tokoh,” jelas Saifuddin pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, semalam.

Pakatan Harapan sebelum ini mengeluarkan kenyataan mahu membentuk sebuah kerjasama pelbagai pihak bagi mendepani isu-isu dalam negara, termasuk ekonomi, perkauman dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tiada ulasan: