Rabu, 9 Mac 2016

Adun Balakong ugut buang sampah depan rumah

Adun Balakong ugut buang sampah depan rumah
Eddie Ng(dua, kiri) melihat longgokan sampah yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab di bahu Jalan Indah 1/6, di sini. Gambar kecil: Keadaan sampah yang dibuang di bahu Jalan Indah 1/6, di sini.
 
 
BALAKONG - “Saya bagi amaran kepada pihak yang buang sampah merata-rata bahawa saya tidak akan teragak-agak membuang kembali sampah dibuang di depan kilang atau rumah mereka jika dapat mengenalpasti siapa orangnya,” kata Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee.

Beliau berkata, sudah tidak boleh berkompromi dengan pihak yang membuang sampah secara haram di tepi jalan kerana masalah berlarutan bertahun-tahun lamanya sebelum ini.

Terbaru katanya, Jalan Indah 1/6, berdekatan kawasan perniagaan Cheras Raya, Batu 11 Cheras dikesan menjadi lubuk pembuangan sampah domestik dan sisa buangan perindustrian.

Sebelum ini pihak tidak bertanggungjawab menjadikan kawasan bahu jalan kira-kira 500 meter dari lokasi itu sebagai tempat pembuangan sampah.

Namun selepas pihak industri mengambil inisiatif membersihkan kawasan dan menanam pokok, pihak terbabit mewujudkan lokasi baru pembuangan sampah.

“Sekarang pihak terbabit buang sampah di sini pula, saya minta mereka yang hadapi masalah kerana kontraktor tak angkut sampah dan sebagainya supaya berjumpa dengan ahli majlis atau ketua kampung, jangan buang sampah sesuka hati," katanya.

Katanya, amaran dikeluarkan berikutan pihaknya sudah tidak boleh lagi bertolenrasi dengan pembuang sampah, isu itu perlu diselesaikan kerana mengundang masalah kepada orang awam.

Pesalah katanya boleh dikompaun RM1,000 sekiranya berjaya ditangkap anggota penguatkuasa.

“Kalau saya dapat tahu siapa buang sampah dan peroleh gambar daripada sesiapa mengenai perbuatan itu saya akan minta MPKj  rujuk dengan JPJ alamat pemilik, saya akan bertemu dengannya.

“Saya juga tak teragak-agak bawa dan pulangkan sampah dibuang di depan rumah atau kilang orang yang membuangnya jika saya dapat maklumat,”katanya.

Beliau berkata, ada mendapat gambar mengenai kegiatan pembuangan sampah dipercayai dilakukan pengilang di Kampung Baru Balakong, identiti pengilang itu katanya sedang dikenalpasti.

Menurutnya lagi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melaksanakan tugas  membersihkan sampah haram setiap minggu namun tidak sampai beberapa jam lokasi dipenuhi sampah kembali.

Ahli Majlis MPKj, So Lian Kiong berkata, majlis akan melantik kontraktor baru di beberapa kawasan namun katanya punca masalah  perlu selesaikan terlebih dahulu.

Beliau bercadang memperkenalkan kaedah kitar semula kerana mendapati kebanyakkan sisa dibuang boleh dikitar semula.

“Banyak cara boleh dilaksanakan...sekarang kita sedang pilih cara paling sesuai, harap penduduk dan pengilang dapat beri kerjasama bulan depan,” katanya.

Ketua Kampung Batu 11,Lim Chin Yuan turut berharap dengan tindakan dan amaran tegas yang dikeluarkan pihak berkenaan tidak mengulangi perbuatan membuang sampah secara haram di merata tempat.

Beliau turut meminta penduduk yang melihat kegiatan pembuangan sampah dapat mengambil gambar kenderaan dan menghantar kepadanya untuk tindakan lanjut.


Tiada ulasan: