Isnin, 21 Mac 2016

Adenan bayangkan DUN bakal dibubar beberapa hari lagi

MALAYSIAKINI




Dewan Undangan Negeri Sarawak bakal dibubarkan dalam kira-kira seminggu lagi, menurut laporan di akhbar Borneo Post hari ini.

Laporan itu berasaskan kenyataan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengenai manifesto pilihan raya BN.

Menurut akhbar itu, Adenan dilaporkan berkata manifesto berkenaan sedang disediakan dan akan "diumumkan dalam masa kira-kira seminggu".

Dan apabila ditanya jika manifesto itu akan diumumkan sebaik sahaja selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri, beliau menjawab: "Sudah tentu."

"Saya sedang mengumumkan senarai nama (calon) dan saya fikir menjelang akhir bulan, saya akan memuktamadkan segala-galanya.

"Selepas ini, saya akan menasihatkan Gabenor Tun Abdul Taib Mahmud untuk membubarkan Dewan dan kemudian selepas itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil alih," katanya.

Apabila disoal oleh pemberita, Pengerusi BN negeri itu enggan mendedahkan tarikh sebenar bagi pengumuman manifesto itu, selain daripada berkata "tidak lama lagi".

Beliau juga menambah bahawa "tiada guna membuat spekulasi sekarang".

Kepada soalan lain, Adenan yakin BN akan mengekalkan Sarawak dengan lebih daripada sekadar majoriti mudah.

Ditanya mengenai sama ada Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) akan menjadi sebahagian daripada BN untuk pilihan raya kali ini, beliau berkata: "Sesiapa yang menggunakan 'dacing' adalah dalam pasukan saya."

Tiada ulasan: