Selasa, 26 Ogos 2014

Yang Penting Khalid Akhirnya Letak Jawatan, Tiada Pilihanraya Dan MB Tetap Dari PR

shahbudindotcom


Dalam episod yang semakin menuju jalan ke penghujungnya, Khalid Ibrahim akhirnya akur untuk meletakkan jawatan. Setelah sedar majoriti tidak lagi memihak kepadanya, beliau akhirnya menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Sultan Selangor, petang tadi.

Bagaimanapun baginda menangguhkan untuk menerima perletakan jawatan Khalid itu sehingga penggantinya dilantik.

Dalam memutuskan pengganti Khalid Ibrahim pula, Sultan Selangor akhirnya menitahkan agar setiap parti dalam PR iaitu Pas, PKR dan DAP mengemukakan dua nama untuk dicadangkan sebagai Menteri Besar yang baru. Baginda sebenarnya tidak menolak nama Dr Wan Azizah secara mutlak, cuma hanya mahukan lebih daripada satu nama dikemukakan bagi memudahkan membuat pilihan.

Melalui keputusan meminta setiap parti mengemukakan dua nama ini juga bermakna tiada pilihanraya negeri akan diadakan di negeri Selangor. Baginda nampaknya amat memahami tentang tiada keperluannya mengadakan pilihanraya negeri serta mahu menyerahkan kembali kerusi Menteri Besar ini kepada PR yang memperolehi majoriti sokongan Adun dalam pilihanraya lalu.

Yang penting di sini, selain Khalid akhirnya akur untuk meletakkan jawatan, tiada pilihanraya negeri akan diadakan dan PR mendapat kembali kerusi Menteri Besar Selangor yang bagaikan terlepas daripada genggamannya sejak Khalid diisytiharkan sebagai Adun Bebas.

Dengan titah Sultan Selangor yang mahukan setiap parti mengemukakan dua nama, terserahlah kepada Pas, PKR dan DAP menentukan pilihan mereka.

Jika dikira daripada keputusan sebelum ini, PKR dan DAP tentulah akan meletakkan nama Dr Wan Azizah sebagai pilihan pertama. Pilihan kedua pula mungkin Azmin Ali atau lain-lain Adun yang difikirkan sesuai kerana tiada kata putus mengenai pilihan kedua itu.

Pas pula, jika diambil kita keputusan mesyuarat pada 17 Ogos lalu, sudah tentulah parti itu akan mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai pilihan pertama dan Azmin sebagai pilihan kedua.

Tetapi jika diambil kira tindakan U turn yang dibuat dalam mesyuarat AJK Pas semalam yang menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Sultan Selangor dalam membuat pilihan, pilihan Pas kini sudah jadi terbuka.

Pas kini boleh mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai pilihan pertama dan Azmin sebagai pilihan kedua atau boleh juga meletakkan Azmin sebagai pilihan pertama dan Dr Wan Azizah sebagai pilihan kedua.

Pas juga boleh meletakkan Dr Wan Azizah sebagai pilihan pertama dan mana-mana Adun Pas sebagai pilihan kedua atau Azmin sebagai pilihan pertama dan mana-mana Adun Pas sebagai pilihan kedua.

Jika Pas sampai hati, mereka juga boleh mencalonkan mana-mana Adun Pas sebagai pilihan pertama dan kedua dan mengenepikan sama-sekali menamakan calon daripada PKR tetapi jika tindakan itu dibuat ia tentunya bermakna Pas secara nyata memungkiri janjinya sendiri sebelum ini yang menyatakan tidak akan menuntut jawatan tersebut daripada PKR.

Namun, melihat beberapa U turn yang dibuat oleh Pas sebelum ini, tidak mustahil parti itu sekali lagi melakukannya. Kata orang yang biasa bergelumang dalam dunia politik, semua boleh jadi dan serba mungkin dalam dunia politik ini, lebih-lebih lagi yang melibatkan perebutan kuasa dan ia tidak mengira sama ada Islam atau pun bukan Islam.

Bagaimanapun, apa yang nyatanya dengan tindakan Sultan Selangor meminta setiap parti menghantar dua nama, ia adalah ujian kepada kesepakatan dan semangat berpegang pada janji antara parti-parti dalam PR. Siapa yang bakal dipilih oleh Sultan nanti memanglah menjadi hak baginda tetapi ia juga akan menyerlahkan sejauh mana kesepakatan dan bersatu hatinya Pas, PKR dan DAP dalam mengemukakan nama calon Menteri Besar ini kepada baginda.

Apakah Pas, PKR dan DAP akan bersatu hati memilih Adun yang sama sebagai pilihan pertama dan kedua atau nama-nama yang dikemukakan nanti menjadi caca-marba?

Tiada ulasan: