Ahad, 24 Ogos 2014

Tandas stadium gelap jadi modal PKR untuk "bantai" Khalid

Oleh Shuhaniza Said dan Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Keadaan tandas yang gelap dan ketiadaan air di Stadium Melawati Shah Alam menjadi modal  perwakilan PKR untuk mencaci Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Pembahas Selangor Abu Talib Bujang membidas Khalid kerana keadaan stadium itu yang menjadi tuan rumah kepada Konvensyen Nasional PKR yang bermula hari ini.
 
"Saudara lihat, tak payah jauh, di stadium ini sudah (cukup). Lihat.. bilik air bergelap, air tak ada.. Apakah itu negeri yang ditadbir PKR," katanya pada sidang membahas ucapan presiden.  
 
Tindakan PKR pecat Khalid tepat
 
Beliau mendakwa parti itu mengambil tindakan tepat dengan memecat Khalid dua minggu lalu kerana enggan berundur sebagai MB.
 
 Abu Talib menyifatkan Khalid sebagai kedekut kerana tidak mahu membelanjakan rizab tunai untuk keperluan rakyat walaupun berjaya mengumpul sehingga berbillion ringgit.         
 
Beliau menuduh beliau sebagai punca kepada krisis politik yang melanda negeri ini sejak beberapa bulan lalu.
 
"Kalau dia tidak elok, melanggar tataetika perlembagaan, kita hukum mereka. Sebagaimana yang saudara tahu, walaupun (dia) sahabat baik kepada Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim), sebelum perkara ini merebak lebih teruk, lebih baik kita mengambil tindakan mengeluarkan (pecat) seorang daripada hancur satu parti,” kata Abu Talib.
 
PKR diberi liputan meluas
 
Beliau menyifatkan media perdana yang memberi liputan meluas kepada PKR susulan kemelut itu sebagai pihak yang menangguk di air keruh.
 
"Kita lihat sahabat kita yang serpihan, yang kita lihat saban hari diperbesarkan di TV3, TV1.. sejak bila mereka mendewakan PKR?,” kata beliau.
 
"Apa yang berlaku di selangor bukanlah salah pemimpin, ini adalah salah kepada pimpinan negeri seorang dua dengan pencacainya,"ujarnya. 
 
Tanpa menyebut nama Khalid sepanjang ucapan perbahasan walaupun dipercayai merujuk kepada Menteri Besar dua penggal itu, Abu Talib  menyifatkan Khalid sebagai kedekut kerana tidak mahu membelanjakan rizab Kerajaan negeri.
 
Perwakilan Selangor bidas kepimpinan PKR tidak cekap 
 
Abu Talib turut membidas kepimpinan PKR kerana tidak cekap menangani isu politik kabilah yang semakin menular dalam parti itu.
 
Perwakilan Pahang, Ahmad Nizam Hamid turut membangkitkan perkara yang sama, selain berpandangan kewibawaan PKR merosot disebabkan krisis isu pemilihan dan jawatan menteri besar baru-baru ini.
 
"Cabaran pertama yang saya lihat ialah merosotnya kewibawaan parti. Daripada pemilihan sehinggalah krisis yang berlaku sekarang ini (di Selangor,” kata beliau.  
 
"Yang kedua melemahkan ialah sendi-sendi disiplin dan kasih sayang di antara kita dan anggota, kepimpinan berbelah bahagi mengikut puak di sana sini, “ tambah beliau.
 
"Yang ketiga, merebaknya intoleransi dan krisis keperibadian…(seolah-olah)  tak boleh nak bertolak ansur, untuk (mereka) yang fikirannya dan pandangannya tidak sama dengan kita," kata Ahmad Nizam. 
 
Proses pemilihan PKR  mencetuskan kontroversi di sepanjang empat bulan lalu sehingga memecah-belahkan parti sehingga diperingkat akar umbi.
 
Semalam, barisan exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) menngajurkan bantahan kerana tidak puas hati dengan keputusan parti mengisthiarkan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai ketua sayap pemuda parti itu.
 
Mereka enggan mendengar ucapan penangguhan ketua baru sayap tersebut, Nik Nazmi.  
 
"Kita (harus) kembali bersatu, kembali sebagai ahli Keadilan dan saya ulang yang diatas itu pun perlu ada disiplin, ikan membusuk daripada kepala, yang tidak boleh nak terima, tak boleh nak tunduk setuju dengan keputusan parti nasihat kita hanya satu, keluar dan buat parti sendiri," kata Ahmad Nizam.

Tiada ulasan: