Selasa, 12 Ogos 2014

Selepas singkir Khalid, tiada masalah PKR hilang ‘persahabatan’ PAS







Oleh Amin Iskandar 


Tidak seperti rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dipecat Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998, kedua-dua rumah rasmi dan persendirian menteri besar Selangor yang popular, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lengang semalam selepas beliau dipecat dari PKR.

Pada 1998, selepas Anwar disingkirkan Dr Mahathir dari tampuk kekuasaan, rumahnya dibanjiri orang ramai untuk mendengar sendiri mengapa beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Penyokong kuat Khalid dalam ketika dihubungi masih samar-samar tentang apa yang harus mereka lakukan. Mereka tersepit di antara kesetiaan kepada Khalid dan kesetiaan kepada PKR.Walaupun selama ini mereka bersama-sama Khalid menjelajah ke seluruh negara untuk menyaingi Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti, keputusan tegas PKR memberikan tamparan hebat kepada mereka.

Di Dewan Teratai Seksyen 19, Shah Alam malam tadi, PKR meneruskan program  "Penerangan Isu Semasa Negeri Selangor" dan kali ini untuk memberi penjelasan kepada orang ramai mengapa mereka memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu.

Anwar yang dikatakan akan hadir tidak muncul sehingga akhir program, tetapi diteruskan dengan ceramah daripada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi Rafizi Ramli.

Walaupun ramai yang hadir, program yang dianjurkan PKR cabang Shah Alam dan dinaungi bekas Exco Selangor Yaakob Sapari tidaklah sehingga menyebabkan kesesakan parah seperti program-program Pakatan Rakyat (PR) jika berlaku krisis besar seperti ini.

Mungkin penyokong PKR dan PR masih terkejut dengan apa yang berlaku, atau ini disebabkan PAS tidak mengerahkan orangnya untuk hadir.

Saifuddin dalam ceramahnya berkata sikap keras kepala Khalid ditunjukkan apabila beliau seringkali gagal hadir dalam mesyuarat biro politik PKR sehinggakan parti terpaksa memberi kelonggaran kepada wakil pejabat menteri besar Selangor menyertainya demi memastikan isu di Selangor dapat disampaikan kepada Khalid.

"‎Khalid sering tidak datang mesyuarat biro politik. Ada kelonggaran kita berikan, anggota exco Selangor kita panggil, pegawai pejabat Khalid juga boleh duduk dalam mesyuarat, supaya isu Selangor dapat disampaikan kepada Khalid.

"Ternyata tidak ada perubahan," kata Saifuddin di hadapan hadirin yang cuba memahami mengapa PKR terpaksa menyingkirkan Khalid.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kota Baru, Kelantan malam tadi dengan pantas mengatakan parti Islam itu tidak mencampuri urusan PKR untuk memecat Khalid.

"Itu dia (PKR) punya pasal, saya tidak boleh ganggu.

"PKR boleh buang orangnya, kita tidak campur," katanya bekas menteri besar Kelantan itu malam tadi.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang “melukakan” PKR apabila menyokong Khalid secara terbuka. Ditambah pula dengan sokongan Nik Aziz kepada pendirian Hadi.

Tidak cukup dengan itu, Majlis Syura Ulama PAS pada 7 Julai mengeluarkan kenyataan untuk menyokong agar Khalid dikekalkan sebagai menteri besar Selangor.

Selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan untuk memecat Khalid yang pernah mereka sanjung sebagai menteri besar Selangor, kini tiada masalah lagi untuk memutuskan persahabatan dengan PAS jika parti Islam itu terus berdegil untuk menyokong bekas tokoh korporat itu.

Apatah lagi sekutu mereka DAP yang sejak awal lagi sudah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi untuk Dr Wan Azizah menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Seorang pemimpin kanan DAP Selangor memberitahu penulis mereka sudah bersedia jika PAS membuat keputusan untuk keluar PR.

“Selama ini PAS menyusahkan Pakatan Rakyat selepas mereka hendak laksanakan hukum hudud di Kelantan. Susah kami hendak jelaskan kepada penyokong.

“Selepas mesej WhatsApp Zuhdi tersebar, kekecewaan bukan Melayu semakin dalam. PAS tidak akan dapat lagi undi bukan Melayu di Selangor. Lebih baik tinggalkan saja Pakatan,” kata pemimpin DAP yang tidak mahu dinamakan itu.

PAS menangguhkan mesyuarat untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak cadangan PKR untuk menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah daripada hari ini ke 17 Ogos.

Ramai yang beranggapan PAS akan bersama keputusan Majlis Syura Ulama mereka pada 7 Julai lalu untuk menyokong Khalid.

Walaupun terdapat sejumlah besar Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang mahu parti Islam itu terus kekal bersama PR, agak sukar untuk PAS mengambil pendirian memalukan Hadi dan Majlis Syura Ulama.

Dalam erti kata lain, PAS hanya menangguhkan pengumuman keluar PR dari 10 Ogos ke 17 Ogos.
Sementara rakyat Selangor pula hampir pasti berdepan dengan Pilihan Raya Negeri.

Tiada ulasan: