MALAYSIAKINI
Naib presiden PKR yang baru Rafizi Ramli mengingatkan, mana-mana ahli
yang menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu menteri besar
Selangor sama seperti bersekongkol dengan BN.
Dalam ucapan penggulungan hari terakhir Kongres PKR hari ini, beliau
turut meminta kepada ahli yang menyalahkan ketua umum itu supaya keluar
daripada parti sekiranya tidak berpuas hati.
"BN dan Umno salahkan Datuk Seri Anwar perkara biasa. Kalau kita nak
salahkan Datuk Seri Anwar juga, cari parti lain. Yang menyalahkan Datuk
Seri Anwar ini sama seperti bersekongkol dengan BN yang menyerang parti
ini.
"Mengkitik boleh tetapi biar ada adabnya. Bukan mengkritik dengan
kritikan yang meletakkan kita sama dengan Umno dan BN," katanya.
Selain itu, Rafizi turut membidas ahli yang mendakwa PKR mengamalkan nepotisme.
Katanya, isu nepotisme tidak timbul memandangkan kesemua pimpinan tertinggi parti dipilih secara demokrasi pada pemilihan parti.
Justeru, Rafizi meminta mana-mana pihak yang tidak senang dengan
'nepotisme' yang ada di dalam parti supaya bertanding untuk merebut
jawatan tersebut.
"Kenapa nak ada unsur dan suara yang bidas dan perlekeh apa yang dibuat
oleh presiden, anak dan keluarganya. Kalau kita tak yakin, jangan duduk
dalam dewan ini. Kalau yakin bahawa perjuangan yang dibawa ketua umum
untuk melawan rasuah itu betul, kenapa mengkritik presiden dan anaknya
kerana menyokong perjuangan yang betul.
"Sebaliknya yang berlaku, suara sumbang menyerang keluarga. Yang kata
'istana Bukit Segambut' pun datang dari orang kita sendiri. Sebab itu
hari ini, cukup-cukuplah. Sebab yang galak serang parti ini nepotisme
ialah Umno dan BN.
"Setiap seorang daripada mereka ada kekuatan masing-masing. Kalau rasa
nepotisme itu teruk dan rosakkan parti, ada jalan keluarnya. Cabar
mereka dengan bertanding. Mereka dipilih secara demokratik, jangan
persoal nepotisme," katanya lagi.
“Istana Bukit Segambut” dianggap merujuk kepada kem Anwar dalam PKR.
Gelaran itu diberikan berdasarkan kedudukan kediaman Anwar di Bukit
Segambut, Kuala Lumpur.
Sementara itu, dalam ucapan sama, Rafizi turut memberi peringatan kepada
menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menghormati
suara rakyat dengan 'bersara' daripada jawatan itu dengan cara yang
baik.
Beliau turut mengingatkan Khalid supaya tidak mensabotaj rakyat dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.
'Saya nak ingatkan kepada Tan Sri Khalid. Walaupun baki-baki integriti
nama baik yang ada itu, sebaik-baiknya uruskanlah peralihan ini dengan
menghormati suara rakyat. Jangan berani untuk sabotaj rakyat dengan
membubarkan dewan. Saudara perlu bersara dengan baik.
"Yang sudah itu sudahlah, bersara. Hutang dah habis bayar, bersara
dengan baik," katanya sambil menerima sorakan daripada perwakilan yang
hadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan