Lim Guan Eng Lim Guan Eng
 
 
 
GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menentang cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kulim, Kedah, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
  
Katanya kerajaan negeri tidak mahu memberi komen mengenai cadangan itu kerana ia adalah urusan antara kerajaan negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan.
  
Sebaliknya, beliau menegaskan cadangan itu jangan dijadikan sebagai alasan untuk meminggir atau dan mendiskriminasikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
  
"Sekiranya mereka minta ada satu lapangan terbang antarabangsa, janganlah pula memberikan alasan yang tidak adil dengan mengkritik LTAPP," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyatakan keperluan sebuah lapangan terbang antarabangsa di utara tanah air kerana berlaku kesesakan LTAPP di Bayan Lepas.

Lim berkata setiap rakyat negeri berhak menuntut pembangunan dan pihaknya menghormati tuntutan yang dibuat kerajaan negeri Kedah, tetapi tentangan akan dibuat sekiranya cadangan itu digunakan untuk menggantikan LTAPP.
  
"Jangan ia dijadikan alasan supaya tidak menaik taraf, tidak memperbesarkan dan tidak memastikan LTAPP betul-betul mengikut istilah antarabangsa," katanya.
  
Lim berkata cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membesarkan LTAPP akan dibangkitkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar semasa perbincangan pelan Rancangan Malaysia ke-11 (RKM-11) nanti. - Bernama