Sabtu, 23 Ogos 2014

Ketua AMK: JPP PKR terkilan Nik Nazmi diboikot

SALMIYAH HARUN


SHAH ALAM: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR melahirkan rasa terkilan apabila ada di kalangan ahli parti yang memboikot Ketua Angkatan Muda yang baru dipilih Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pengerusi JPP PKR Datuk Johari Abdul berkata, sepatutnya anak muda tidak seharusnya menunjukkan sikap sedemikian kerana merekalah yang akan menerajui kepimpinan parti pada masa depan.

"Rakyat akan melihat pimpinan muda membawa obor ke tahap lebih tinggi. Kita akan masuk dalam pilihan raya dan akan dipimpin oleh anak muda," katanya.

Tegasnya, pengiktirafan anak muda hari ini merupakan peluang yang terbaik untuk mereka menunjukkan kepimpinan mereka.

"Kenapa harus kita boikot? Hentilah isu boikot, kita masuk gelanggang untuk memimpin. Kepimpinan Nik Nazmi akan membuatkan kuota melangkah lebih bergaya ke Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika secara rasminya mengumumkan barisan kepimpinan baru PKR yang dimenangi dalam pemilihan baru-baru ini.

Para pimpinan tertinggi PKR yang baru memenuhi ruang pentas kongres sebaik diumumkan JPP satu persatu.

Bagaimanaoun jawatan Setiausaha Agung yang ada sekarang dilanjutkan sehingga pemilihan jawatan itu dibuat mengikut Fasal 27 parti.

Sidang kongres PKR esok akan dibarisi kepimpinan baru PKR iaitu Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan, Mohamed Azmin Ali, tiga naib, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Rafizi Ramli serta 20 pimpinan Majlis Tertinggi. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: