Selasa, 12 Ogos 2014

Kes MB: Umno tidak boleh latah, PAS tidak boleh serakah

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
 
[ULASAN]  Tanpa menunggu PAS membuat keputusan berhubung kemelut kerusi Menteri Besar Selangor Ahad ini, penyelesaian tuntas boleh dicapai hari ini juga jika Umno jelas dan tegas dalam pendiriannya.
 
Jika dengan terang dan jelas Umno mengambil keputusan bahawa ia tidak mahu campur krisis kepimpinan yang dihadapi oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, dengan sendirinya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu meletak jawatan. 
 
Ini kerana tanpa sokongan Umno, Khalid, Menteri Besar yang tiada parti politik kini hanya bersandar pada sokongan PAS yang nampaknya “yakin” bahawa rekod perkhidmatan enam tahunnya bersih dari cemar rasuah dan salahguna kuasa. 
 
Bagaimanapun PAS Selangor hanya mempunyai lima belas kerusi Dewan Undangan Negeri dan jika dicampur dengan kerusi tunggal Khalid, ia berjumlah enam belas daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor. 
 
Selesai kes. Khalid tidak boleh lagi meneruskan tugas Menteri Besar sebab tidak mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan. Ini bermakna PKR dan DAP boleh berikhtiar untuk mengemukakan calon menjadi Menteri Besar baharu. 
 
Pun begitu, jumlah kerusi Pakatan Rakyat dalam DUN Selangor maksimumnya berjumlah 28 (PKR, 13 dan DAP, 15). Ini adalah separuh daripada jumlah kerusi Dewan. Jika Umno tidak mengumumkan sikap menyokong atau menolak Khalid Ibrahim, tinggallah Khalid dengan sokongan 15 ADUN PAS sahaja. 
 
Ini bermakna Khalid mesti letak jawatan. Lantas solusi terbaik ialah menyerahkan kuasa mutlak kepada rakyat semula dalam bentuk pilihan raya umum Negeri. Seharusnya inilah sasaran Umno. Ia perlu merebut peluang menghadapi undian rakyat. 
 
Bagaimanapun jika Umno mengambil pendirian untuk menyokong Khalid dan PAS, bererti kedudukan “DUN tergantung” juga akan berlaku (PAS, 15; Umno 12 dan satu, Khalid Ibrahim.). 
 
Sekali lagi jalan keluar dari senario ini ialah pilihan raya umum negeri. Kini terpulang kepada Umno untuk memilih mahu menghadapi pilihan raya negeri secara berkelompok dalam BN atau mahu bekerjasama dengan PAS.
 
Satu lagi senario yang Umno perlu berhubaya ialah kemungkinan Ahad ini PAS mengumumkan ia mahu terus bersama Pakatan Rakyat dan bersetuju Khalid diganti Menteri Besar lain. 
 
Jika Umno sekonyong-konyong mengumumkan sokongan pada Khalid, sudah tentu ia akan menerima tamparan politik yang agak memalukan – hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. 
 
PAS, PKR dan DAP tetap bersatu dalam Pakatan Rakyat dan secara jelas pula Umno dilihat berniat jahat mahu cuba memecahkan perpaduan mereka. 
 
Selain itu, Umno juga harus mempertimbangkan kemungkinan jika ia bekerjasama dengan PAS (dalam tempoh krisis ini memuncak) dan berhadapan dengan pilihan raya umum negeri, adakah Umno bersedia untuk berbahagi kuasa dengan PAS?
 
Ditakdirkan rakyat mahu menghukum PKR kerana “memecat” Khalid, Menteri Besar yang mereka sayangi, dan memberi sedikit undi tambahan kepada Umno, besar kemungkinan, PAS akan mengaut lebih banyak kerusi berbanding Umno.
 
Jika keadaan itu berlaku, mahukah Umno menubuhkan kerajaan campuran dengan PAS dan kemudian menurut arahan dan pimpinan PAS di Selangor? Bolehkah kerjasama dan kahwin-campur PAS-Umno ini kekal? 
 
Menurut rekod, PAS sudah bekerjasama dengan Umno-BN, Semangat 46, PKR dan DAP. Namun jodoh politik PAS tidak pernah kekal. Adakah semua rakan politik PAS itu curang? Atau, PAS sebenarnya yang tidak budiman dalam politik?
 
Sementara jika ditakdirkan pula kombinasi PAS-Umno tewas pada PKR dan DAP dalam pilihan raya negeri, adakah Umno sanggup jadi pembangkang bersama PAS? 
 
Sekurang-kurangnya sekarang ini Umno adalah pembangkang yang padu di bawah jenama Umno. Bagaimana jika dengan PAS? Tidakkah Umno akan meleset menjadi parti pembangkang kelas dua?
 
Pada Umno terletak anak kunci penyelesaian tahap pertama kemelut kerusi Menteri Besar Selangor sehingga pilihan raya negeri diadakan. 
 
Sementara di tangan PAS pula terletak penyelesaian persoalan sama ada Pakatan Rakyat akan kekal atau berkubur. 
 
Namun PAS ada masa sehingga Ahad ini untuk menggunakan kedudukan istimewanya menjadi penentu kelangsungan sistem politik dua parti di Malaysia. 
 
Manakala Umno tidak boleh melatah menentukan pendirian, PAS pula harus bertanya, berbaloikah ia kembali “merujuk” pada Umno hanya untuk mempertahankan seorang ahli politik degil bernama Abdul Khalid Ibrahim?

Tiada ulasan: